Sekumpulan penonton terpilih yang mewakili orang awam kini diberikan kelonggaran istimewa untuk menyaksikan sendiri babak yang tidak lulus untuk tontonan umum atau ditapis oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Memandangkan selama ini ramai yang mengeluh tentang babak kegemaran yang ‘hilang’ dalam durasi tayangan sesebuah bahan siaran khususnya filem, sebuah inisiatif khas telah dibuat agar masyarakat dapat memikirkan sendiri kewajaran sesuatu babak itu dihalang daripada ditayangkan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi memberitahu, program yang julung-julung kali diadakan tersebut bakal diadakan sempena sambutan karnival 60 tahun LPF di pusat beli-belah Alamanda Putrajaya pada 22 dan 23 November ini.

“Dalam karnival itu nanti, akan dipertontonkan adegan-adegan yang tidak ditapis, untuk memberi gambaran jelas serta kesedaran mengenai fungsi serta peranan penting LPF dalam proses penerbitan filem negara.

“Secara tidak langsung ia menjelaskan tindakan LPF yang sering dikatakan memotong babak artistik yang boleh menarik perhatian penonton dan menambah nilai sesebuah filem,” ujar beliau dalam sidang media di Bukit Aman baru-baru ini.

Babak-babak yang selama ini dianggap sensitif dalam tayangan filem di negara ini adalah yang berunsur seks, ganas keterlaluan dan yang menyentuh sensitiviti agama serta politik.

Sementara itu, Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid ketika dihubungi Astro Awani memberitahu, orang awam yang menyertai acara tersebut bakal diberikan peluang mengenali kerja-kerja suntingan dan penapisan serta garis panduan yang terlibat dalam membuat keputusan tersebut.

“Sebelum ini acara seumpamanya hanya melibatkan pihak penyiar tempatan, namun untuk orang awam, inilah yang pertama kali dilaksanakan,” ujar beliau yang berharap orang ramai akan lebih memahami tugas LPF.

Bagaimanapun, menurut Abdul Halim, kumpulan penonton awam terpilih, wartawan dan juga penggiat industri yang dapat mengikuti tayangan itu terhad kepada bilangan tertentu.

“Mungkin hanya sekitar 150 tempat duduk penonton disediakan. Pengunjung terawal yang hadir ke karnival itu perlu mendapatkan kupon khas bagi menyertainya.

“Kita mengisi acara tersebut dengan taklimat untuk menerangkan kepada mereka kenapa sesuatu babak itu ditapis dalam bahan siaran khususnya filem,” jelas Abdul Halim.

Tambah beliau, program tersebut juga adalah untuk mengeratkan hubungan dan jaringan kerjasama dengan penggiat industri perfileman selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan LPF.

Karnival selama dua hari itu nanti bakal diisi pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz, sesi ramah mesra dengan artis dan promosi filem.

Semua stesen televisyen iaitu Astro, RTM, Media Prima, Hypptv, Al-Hijrah dan ABNxcess juga terlibat dan akan membuka ruang pameran serta menjalankan aktiviti masing-masing untuk disertai pengunjung.