Badan pengurusan air akan diwujudkan di Wilayah Persekutuan

Bernama
September 9, 2020 20:28 MYT
Annuar berkata pelbagai manfaat akan diperoleh sekiranya Wilayah Persekutuan mempunyai badan pengurusan air sendiri. - Astro AWANI
Badan pengurusan air akan diwujudkan di Wilayah Persekutuan bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku di ibu negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata cadangan penubuhan badan itu telah dibawa pada mesyuarat Kabinet pada Rabu dan kajian mengenainya kini dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
"Saya fikir kita tidak harus selamanya bergantung kepada pengurusan air di negeri Selangor. Untuk jangka panjang (Wilayah Persekutuan) perlu ada pengurusan air sendiri," katanya kepada media selepas menghadiri program Bubur Asyura di Surau An-Najah, di sini pada Rabu.
Annuar berkata pelbagai manfaat akan diperoleh sekiranya Wilayah Persekutuan mempunyai badan pengurusan air sendiri.
"Dengan adanya badan ini, kami boleh menguruskan konsesi air sendiri malah membeli air mentah atau memproses air kerana di Wilayah Persekutuan banyak sumber air seperti tasik dan sungai," katanya.
BACA: Selangor rangka langkah jangka panjang selesai isu air
BACA: Gangguan bekalan air tidak berjadual di 1,292 kawasan termasuk KL, Petaling dan Shah Alam
BACA: Operasi Air Selangor: Gangguan bekalan air dijangka lebih lama
-- BERNAMA
#air #air mentah #Annuar Musa #badan pengurusan air #Kementerian Wilayah Persekutuan #konsesi air #mesyuarat Kabinet #Selangor #sumber air #Wilayah Persekutuan