Sebanyak 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang,Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran di sumber air mentah Sungai Selangor, mulai Khamis.

Sehingga jam 11.30 pagi Khamis, pencemaran masih lagi dikesan di sungai negeri itu.

Dalam satu kenyataan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dengan melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif HORAS 600 dengan kapasiti 150 juta liter sehari dan pelepasan empangan sebanyak 500 juta liter sehari bagi pencairan bahan pencemaran yang terdapat di Sungai Selangor.

Air Selangor juga menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Para pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300 atau whatsapp di nombor 019-2816793 dan 019-2800919. Bantuan bekalan air juga boleh didapati melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS).

"Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pelanggan yang terjejas," katanya kenyataan itu.

Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

Berikut senarai kawasan terjejas: