PENGENALAN

Semenanjung Melayu mengunjur sejauh 1,355 km membentuk pengadang semula jadi di antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan, tempat pertembungan tamadun-tamadun besar dunia.

Oleh kerana itu, banyak kerajaan Melayu lama yang muncul sepanjang Semenanjung ini.

Langkasuka, Srivijaya dan Melaka adalah antara kerajaan-kerajaan Melayu yang telah meninggalkan kesan mendalam ke atas struktur sosio-politik Semenanjung Melayu.

Kedatangan Portugis pada tahun 1511 telah menyaksikan runtuhnya Kesultanan Melaka yang telah berkuasa di Nusantara seabad lamanya.

Namun, perlu diingat bahawa tidak seperti yang berlaku di Brazil, pihak Portugis tidak berupaya menebarkan kekuasaan mereka di luar tembok kubu A’Famosa.

Wilayah-wilayah lain di Semenanjung Melayu seperti Kedah dan Pahang masih lagi merdeka.

Runtuhnya Kesultanan Melaka tidak bererti kuasa Melayu telah terlupus dari Nusantara.

Kesultanan Johor, yang ditubuhkan pada tahun 1528 oleh waris Sultan terakhir Melaka, Sultan Mahmud Syah telah mewarisi banyak wilayah yang pernah dikuasai Melaka yang terbentang dari Pahang sehinggalah ke kepulauan Riau.

Johor telah berupaya mengekalkan kemerdekaannya dan berhasil mengusir Portugis dari Melaka menerusi kerjasama ketenteraan kerajaan ini bersama Belanda pada tahun 1641.

Setelah Belanda menguasai Melaka, Belanda hanya kekal di koloni ini dan menghormati Johor sebagai penguasa Semenanjung Melayu dan Kepulauan Riau.

Kedatangan British yang mula menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786 dan Singapura pada tahun 1819 telah menyebabkan wujudnya kehendak untuk menguasai Melaka daripada tangan Belanda.

Pada tahun 1824, dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Kesultanan Johor telah terbahagi dua dengan Johor di bawah pengaruh British manakala Kesultanan Riau di bawah ruang lingkup penguasaan Belanda.

Kesultanan Riau akhirnya dihapuskan oleh Belanda pada tahun 1911 manakala Johor kekal sebagai sebuah kesultanan di dalam Malaysia sehingga ke hari ini.

Apabila kesultanan-kesultanan Melayu yang lain di Semenanjung satu persatu dikuasai British, Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar telah mampu mengekalkan kemerdekaannya, malah diiktiraf kedaulatannya.

Sultan Abu Bakar

Sejarah Kesultanan Johor telah bertukar arah pada tahun 1824 apabila ianya dipisahkan dengan wilayah Riau dan Lingga.

Namun, ini tidak bermakna Kesultanan Johor telah hilang kedaulatannya. Pemerintahan moden Johor telah bermula apabila teraju pentadbiran telah diambil alih oleh Sultan Abu Bakar (sebagai Temenggong) pada tahun 1862 daripada Temenggong Daeng Ibrahim.

Pada tahun 1868, baginda telah menggunakan gelaran ‘Maharaja’ dan telah memerintah Johor dengan saksama serta menjadi pemerintah Melayu pertama yang berkelana ke Eropah dan seluruh dunia bagi menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara berdaulat lain, antaranya United Kingdom, Empayar Uthmaniyah, Liechtenstein, Prussia, Austria, Itali dan Hawaii.

Menyedari kedudukan Johor yang boleh jatuh ke kuasa penjajah, baginda telah menggunakan kebijaksanaan dan kebitaraan dalam berhubungan dengan pihak British.

Akibat daripada tindakan British yang ingin meletakkan Penasihat British di Johor sewaktu pemerintahannya, baginda sendiri telah ke England pada tahun 1884 untuk membuat perbincangan dengan Pejabat Tanah Jajahan British di London yang menyaksikan permintaan baginda agar Residen British tidak dilantik, diterima oleh pejabat ini.

Pada tahun 1885, Ratu Victoria telah mengiktiraf kedaulatan Johor apabila kedua-dua kerajaan ini menandatangani Perjanjian British-Johor, pengiktirafan yang sangat besar untuk sebuah kuasa besar dunia ke atas Kesultanan Melayu yang telah wujud ratusan tahun ini.

Baginda kemudiannya menggunakan gelaran ‘Sultan’ bermula tahun 1886.

Bagi memastikan kemerdekaan Johor terus terjamin di sebalik kemaraan Johor untuk menguasai pentadbiran, Sultan Abu Bakar telah mengumumkan penguatkuasaan Perlembagaan Johor pada tahun 1895, iaitu Undang-undang Tubuh Negeri Johor.

Namun, akibat tekanan daripada pihak British, Sultan Ibrahim yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Sultan Abu Bakar pada tahun 1895 telah menerima Penasihat British menerusi perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1914.

Rentetan sejarah ini menyaksikan kebijaksanaan dan kebitaraan Sultan Abu Bakar dalam memastikan kedaulatan Johor diiktiraf serta menunjukkan kebolehan pemerintah Melayu menguasai kemahiran diplomasi dan undang-undang antarabangsa.

Baginda sedar bahawa dengan menjalin hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar, kemerdekaan Johor dapat dipelihara seperti mana Siam mengekalkan kemerdekaan daripada penguasaan penjajah-penjajah Barat.

Malah, kedaulatan Johor sendiri diiktiraf oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ketika badan perundangan dunia ini menyampaikan keputusannya terkait kes kedaulatan ke atas Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura.

ICJ mengakui bahawa dari sudut sejarah, Batu Puteh terletak di bawah kedaulatan Kesultanan Johor.

Sekiranya Johor tidak menjadi sebahagian daripada British Malaya, bagaimanakah sejarah negara kita pada hari ini?

Pertama sekali, kemungkinan besar Persekutuan Tanah Melayu tidak akan terbentuk pada tahun 1948 dan ketiadaan Datuk Onn Jaafar akan mengakibatkan Malayan Union tidak dihapuskan pada tahun 1946.

Kedua, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) juga mungkin tidak akan wujud kerana parti ini lahir di Johor.

Ketiga, katakanlah tidak wujud pemimpin Melayu yang lain yang lantang menentang Malayan Union seperti Datuk Onn Jaafar,  Malaysia hari ini akan dikenali sebagai Malayan Union yang mana kesemua penduduk Malaya pada tahun 1946 diberikan kerakyatan secara jus soli.

Keempat, Johor akan kekal sebagai sebuah negara monarki seperti negara Brunei Darussalam dan Oman.

Kelima, wilayah negara pada hari ini akan mengecil dengan ketiadaan Johor sebagai salah sebuah negeri komponen.

Kesimpulan

Walau dengan apa cara sekalipun cara sejarah Tanah Melayu dibaca dan diterjemah, Johor hari ini kekal merdeka sebagai salah sebuah negeri dalam Malaysia.

Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukkan perkara ini .

Kesultanan Johor, yang dibentuk apabila Melaka runtuh pada tahun 1511 adalah antara kesultanan paling tua yang pernah wujud di Semenanjung Melayu.

Johor telah memainkan peranan penting dalam membentuk sejarah negara dan membina negara Malaysia yang wujud pada hari ini.

Ketokohan Sultan Abu Bakar terserlah sebagai seorang pemerintah yang bijaksana.

Baginda telah berjaya memastikan Johor kekal merdeka sewaktu pemerintahannya walaupun negeri-negeri Melayu yang lain satu persatu dikuasai British menerusi kepintaran diplomasi Baginda.

Baginda juga telah membuktikan pentadbir Melayu bijak berdiplomasi, dan mampu berdiri setaraf dengan tokoh-tokoh dari negara-negara lain.

Kebitaraan Baginda dalam menghadapi kuasa-kuasa besar dunia terutamanya pihak British adalah suatu yang boleh dicontohi oleh Malaysia pada hari ini dalam mendepani cabaran untuk memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan Malaysia terjamin sebaiknya.



* Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) merupakan Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Astro AWANI.