Jenayah di sekolah: Kabinet akan buat 'keputusan segera' - PM

merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan akan membuat 'keputusan segera' berhubung beberapa insiden jenayah yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, sejak kebelakangan ini.
Anwar berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Jemaah Menteri.
Beliau turut mengesahkan sudah mengadakan perbincangan bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan beberapa pegawai yang terlibat pada hari ini.
“Esok kita (akan) berbincang dengan Kabinet... detail (secara teliti)… tadi saya (sudah) berbincang sedikit dengan Menteri (Fadhlina Sidek) dan beberapa orang, esok kita buat keputusan,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai apa keputusan yang dimaksudkannya.Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Beliau ditanya mengenai langkah yang diambil olehnya berhubung insiden jenayah seperti rogol dan bunuh yang berlaku dalam tempoh terdekat melibatkan pelajar beberapa buah sekolah.
Hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang bekas pelajar dan tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah di Baling yang disyaki terlibat dalam kes rogol bawah umur.
PDRM dalam kenyataanya berkata hasil siasatan lanjut mendapati, kesemua suspek melakukan hubungan seks termasuk secara berkumpulan pada Mei hingga Ogos lepas di beberapa lokasi termasuk di dalam kelas sekolah.
Dua hari lepas, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dibunuh oleh pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sehubungan itu, Fadhilna berkata pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan semua aspek terkait kes pelajar yang dibunuh dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.
Manakala pada 11 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan reman empat pelajar Tingkatan Lima bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan Tigas dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah pada minggu lalu.
Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah, hari ini.
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berdepan tiga tuduhan melibatkan kesalahan merogol secara berkumpulan, melakukan persetubuhan bertentangan tabii dan amang seksual fizikal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami