Bahasa Melayu ajar saya mengenai budi, hormat - Lyn d' Amor

Lyn berkata beliau percaya bahasa Melayu tidak akan lenyap selagi ada suara MMB terus mempertahankan bahasa itu. - Foto Linkedin
KUALA LUMPUR: "Saya bukan Melayu, bukan Islam, tetapi bahasa Melayu sudah lama beraja di hati saya," kata Munsyi Muda Bahasa (MMB) Lyn d'amor Buquing.
Ringkasan AI
- Lyn d'amor Buquing, Munsyi Muda Bahasa bukan Melayu dan bukan Islam, tetap mencintai bahasa Melayu sepenuh hati, menekankan bahasa ini mendidik budi dan nilai kasih tanpa mengira kaum atau agama.
- Penguasaan bahasa Melayu melibatkan jiwa dan hati, bukan sekadar tatabahasa, dengan pejuang bahasa menekankan kepentingan menutur dan menulis secara fasih serta tulus untuk generasi akan datang.
- KOMUDA '25 dan INTAN berperanan memperkasakan usaha kebahasaan, memastikan rakyat terus mempelajari bahasa Melayu standard, menggalakkan penggunaan rasmi yang betul, dan menyelaraskan pengalaman Munsyi Muda Bahasa.
"Maka saya ingin bertanya, dari lubuk jiwa saya paling dalam, jika saya yang bukan Melayu mampu mencintai bahasa ini sepenuh hati, mengapa tidak kita semua?
"Mengapa tidak kalian, yang lahir dari rahim budaya ini, yang berdiri di tanah warisannya?," katanya pada Forum Munsyi Muda Bahasa Bersilat Dalam Lumpur di sini pada Rabu.
Semasa ditemui semalam, Lyn berkata beliau percaya bahasa Melayu tidak akan lenyap selagi ada suara MMB terus mempertahankan bahasa itu.
"Ini kerana selaku MMB, kita bukan sekadar penjaga tatabahasa tetapi juga bertindak sebagai penjaga warisan bangsa," katanya.
Sementara itu MMB Dr V. Uma Thevi berkata penguasaan sesuatu bahasa bukan hanya mengenai menulis dengan betul, tetapi juga menuturkan dengan jiwa, iaitu dilafazkan dengan fasih dan ditulis dengan hati yang tulus.
"Maka, perjuangan ini tidak akan berhenti di sini, sebaliknya diteruskan oleh pendidik, pejuang dan pencinta bahasa agar generasi akan datang terus meletakkan Bahasa Kebangsaan pada tempat tertinggi, lebih tinggi daripada bahasa yang lain.
Uma Thevi yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Kepimpinan Hal Ehwal Murid dan Kaunseling Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands juga berkali-kali menegaskan bahawa bahasa Melayu merupakan "nadi" beliau, sebagai anak watan yang lahir di Malaysia.
Sementara itu, Perunding Latihan Kanan Unit Bahasa Cina Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Lai Yoon Huey berkata semua pihak perlu menggalakkan seluruh rakyat terus mempelajari penggunaan bahasa Melayu standard dalam urusan seharian.
"Walaupun telah menjadi kebiasaan untuk ramai bertutur secara rojak, namun kita perlu belajar bagi memastikan dalam urusan rasmi, kita dapat menggunakan bahasa Melayu standard yang betul.
"Bukan sahaja anak-anak muda sekarang, malah semasa saya remaja juga ada ciri-ciri begini. Memang ada kecenderungan untuk mencampurkan (bahasa) Melayu dan bukan Melayu dan susah untuk dielakkan, cuma kita boleh menggalakkan semua untuk terus belajar," katanya.
KOMUDA '25 dianjurkan INTAN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 bertujuan mewujudkan suatu bentuk struktur penyelarasan pascapentauliah peserta sebagai MMB.
Ia bertujuan memperkasakan usaha kebahasaan sektor awam dan satu bentuk penyelarasan serta wadah transaksi pengalaman kepada MMB yang telah dilantik dan ditauliahkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami