MALAYSIA
Bahasa Melayu perlu diperkasakan sebagai bahasa ilmu merentasi bidang teknikal, sains - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, mahasiswa dan mahasiswi perlu berani menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan dan penyelidikan, kerana mereka berperanan sebagai perintis yang memperkaya bahasa dengan istilah baharu. - Foto fail/Sinar Harian
ARAU: Bahasa Melayu perlu diperkasakan sebagai bahasa ilmu merentasi bidang teknikal dan sains sejak peringkat sekolah rendah, supaya generasi muda yakin akan keupayaan bahasa itu setanding bahasa global untuk memelihara jati diri bangsa dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Ringkasan AI
- Bahasa Melayu perlu diperkasakan sejak sekolah rendah sebagai bahasa ilmu dalam bidang teknikal dan sains, agar generasi muda yakin dengan keupayaannya setanding bahasa global.
- Seminar dan usaha kolektif penting untuk memperkukuh penggunaan istilah teknikal, mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa, serta memastikan ia kekal relevan dalam inovasi dan teknologi.
- Mahasiswa digesa berani menulis dan membuat penyelidikan dalam bahasa Melayu, manakala kerjasama IPT, industri dan badan bahasa diperlukan bagi membina istilah seragam dan meningkatkan daya saing negara.
"Penganjuran seminar ini selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh penggunaan istilah teknikal dalam bahasa Melayu serta mengangkatnya ke peringkat antarabangsa. Penglibatan pelbagai pihak menunjukkan komitmen bersama dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang unggul.
"Saya juga berharap agar seminar ini tidak sekadar menjadi platform wacana tetapi menjadi titik tolak kepada gerakan yang lebih menyeluruh dan berterusan dalam memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin teknikal termasuk kejuruteraan, sains, teknologi maklumat dan bidang profesional lain," titah baginda.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian ketika berkenan merasmikan seminar bahasa itu di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, di sini, semalam.
Seminar bahasa itu anjuran Institut Kajian Strategik dan Komuniti (IKSK) UniMAP serta Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) UniMAP, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, mahasiswa dan mahasiswi perlu berani menggunakan bahasa Melayu dalam penulisan dan penyelidikan, kerana mereka berperanan sebagai perintis yang memperkaya bahasa dengan istilah baharu.
"Dengan kreativiti generasi ini, bahasa Melayu berpotensi untuk bersaing pada peringkat global dan menjadi bahasa ilmu yang dihormati di dunia," titah baginda.
Selain itu, baginda bertitah, kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, industri dan badan bahasa penting untuk membina istilah teknikal yang seragam serta teguh, dan sinergi itu akan memperkukuh ekosistem ilmu, menjadikan bahasa Melayu sebagai jambatan kemajuan dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa dalam era Revolusi Industri 4.0.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami