Tindakan merakam dan memuat naik kejadian membelasah suspek jenayah merupakan perbuatan bahaya kerana ia boleh mencetuskan salah faham kepada pengguna media sosial yang lain.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun ia mungkin berniat memberi pengajaran dan kesedaran, namun kejadian itu dikhuatiri akan diputar belit pihak tertentu sehinggakan orang ramai yang tidak berada di kawasan kejadian tidak akan mengetahui situasi sebenar dan akan tersalah anggap.

Mengambil contoh insiden di pusat beli-belah Plaza Low Yat di sini baru-baru ini, beliau berkata kejadian yang pada mulanya berpunca daripada kes curi telefon bimbit, menjadi isu yang lebih serius apabila ia dikaitkan dengan isu perkauman.

"Viral itu sangat bahaya misalnya kejadian di Low Yat. Orang ramai ambil kesempatan memutarbelitkan insiden itu dan menyebarkannya sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada 12 Julai lalu, Plaza Low Yat gempar apabila dua kumpulan pemuda merusuh ekoran insiden pergaduhan kecil antara seorang remaja lelaki yang didakwa mencuri telefon bimbit dengan kumpulan peniaga di premis berkenaan.

Bagaimanapun insiden terbabit menjadi viral di laman sosial dengan orang ramai mengaitkan kejadian itu dengan isu perkauman.

Dalam pada itu Lee turut mengulas mengenai kejadian-kejadian membelasah suspek jenayah sehingga ada yang membawa kepada kematian.

Kejadian terbaru yang dilaporkan di Felda Jengka 17 di Maran, Pahang, dua lelaki dibelasah sebelum dipaksa memakan najis lembu dan kereta sewa mereka dibakar sehingga hangus oleh orang ramai kerana disyaki mahu mencuri lembu.

Visual yang memaparkan tindakan kumpulan yang membelasah dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an itu kini menjadi viral di laman sosial.

Beliau berkata individu terlibat membelasah suspek jenayah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika suspek dipukul sehingga mati, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Lee berkata perbuatan terburu-buru mengikut emosi itu akan mendatangkan padah kepada diri sendiri walaupun tindakan itu pada asalnya bertujuan sekadar untuk memberi pengajaran.

"Apabila perasaan marah dicampur dengan keghairahan untuk menyedarkan suspek, maka orang ramai tidak menggunakan akal yang waras asalkan dapat melepaskan geram mereka terhadap suspek," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahaya berkata orang ramai tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum suspek jenayah kecuali jika mereka berada dalam situasi iaitu suspek menggunakan senjata.

"Jika bersenjata, orang ramai yang mahu menangkap suspek mungkin boleh bertindak untuk mempertahan atau menyelamatkan diri. Jika suspek tidak bersenjata, suspek perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak menggunakan emosi dalam menangani suspek jenayah sebaliknya menggunakan akal fikiran yang waras dengan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

"Memanglah, ikutkan rasa hati yang geram dengan perlakuan jenayah itu, kita mungkin akan bersikap terburu-buru dengan membelasah suspek secukupnya sebelum diserah kepada polis.

"Tindakan ini salah sama sekali kerana yang memukul itu boleh dikenakan hukuman kerana mencederakan suspek. Paling teruk jika suspek maut di tangan yang membelasah, kes ini akan jadi kes bunuh dan mereka takkan terlepas daripada hukuman undang-undang," katanya.

Saharuddin berkata tindakan orang ramai yang memuat naik video atau gambar suspek yang dibelasah juga merupakan satu tindakan tidak berperikemanusiaan selain mengaibkan suspek.

Katanya tindakan itu tetap salah walaupun si pembelasah mahu menunjukkan bahawa dia berjaya menangkap dan memukul suspek dan mahu memberi pengajaran kepada orang lain.

"Walaupun kita rasa dia bersalah, namun sebagai manusia kita perlu jaga maruah dia. Bagaimana kalau orang yang kita belasah itu tidak terlibat langsung dengan jenayah? Adakah dengan kecurigaan kita sahaja sudah cukup membuktikan dia bersalah?

"Negara kita ada undang-undang, tugas kita sebagai orang awam hanya membantu pihak berkuasa sahaja dalam memerangi jenayah, bukan menghukum. Tugas mendakwa, menjatuhkan hukuman biarlah pihak berkuasa dan mahkamah sahaja yang menentukan," katanya.