Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengusulkan pelepasan cukai bagi mengurangkan beban pembayar cukai yang menjaga ibu bapa mereka dalam Bajet 2015.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia sebagai insentif serta galakan kepada mana-mana pembayar cukai yang bersedia menjaga dan mengasuh ibu bapa masing-masing.

Langkah itu juga diharapkan dapat mengurangkan jumlah warga emas dihantar ke pusat penjagaan warga tua, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara di sini pada Selasa.

Rohani bagaimanapun berkata, jumlah pelepasan itu masih di peringkat kajian, di mana kertas kerja mengenainya akan dihantar ke Kementerian Kewangan akhir bulan ini.

"Jika sempat kita nak masukkan ia ke dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan tidak lama lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rohani berkata peluang pekerjaan kedua wajar diberi kepada warga emas yang sudah pencen tetapi masih sihat dan aktif, bagi memanfaatkan pengalaman mereka sambil memberikan pendapatan.

Sambil meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) meneliti perkara itu, beliau berkata ia adalah lebih wajar daripada menggaji pekerja asing.

Katanya warga emas yang berminat untuk mempelajari kursus kemahiran seperti jahitan dan lukisan boleh mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di mana-mana Kolej Komuniti di seluruh negara dengan bayaran RM5.

Sehingga kini 53,904 warga emas mendaftar di lebih 80 kolej tersebut di seluruh negara sejak tahun 2010, katanya.

Rohani berkata kementerian juga akan mengusulkan agar aktiviti khidmat masyarakat oleh pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang diadakan bersama warga emas dimasukkan sebagai jam kredit pengajian mereka.

Beliau berkata cadangan berkenaan pernah diutarakan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara, dan akan meminta jawatankuasa kecil Kementerian Pendidikan mengkaji cadangan tersebut.

"Saya juga nak cadangkan daripada seawal sekolah rendah lagi kita banyakkan aktiviti dibuat bersama warga emas sehingga ke universiti," katanya.

Rohani berkata pada tahun ini juga Hari Warga Emas akan disambut bersama Hari Kanak-Kanak dengan tema "Melangkau Generasi" bagi memupuk rasa kasih sayang dan hormat menghormati antara generasi.