Peluang pekerjaan yang lebih luas dan harga barang diturunkan, adalah dua permintaan utama yang diharapkan oleh rata-rata penduduk sekitar sini daripada Bajet 2019 yang akan dibentangkan oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan pada 2 Nov ini.

Mereka berpendapat kenaikan harga barang dan peluang kerja yang terhad boleh mengakibatkan berlakunya peningkatan kos sara hidup yang jika tidak ditangani dengan baik akan membebankan rakyat.

Seorang peniaga pakaian, Mohd Fakharudin Mohd Zulkufli, 22, berkata dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang ini, kerajaan perlu memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam pembentangan bajet nanti.

Katanya rakyat kini berhadapan dengan kenaikan harga barang sehingga ia boleh membebankan dan kerana itu bajet yang akan dibentangkan perlu berhemah serta menjaga kebajikan rakyat.

"Selain itu, kerajaan juga perlu mengambil pendekatan dengan menurunkan harga minyak bagi membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan kos sara hidup," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Seorang peniaga pakaian terpakai, Mohd Naim Bakhtiar Mohd Zain, 29, pula mengharapkan agar pembentangan itu dapat membantu peniaga seluruh perak dalam meningkatkan pendapatan selain memberikan kebaikan kepada peniaga.

"Saya harap bajet 2019 memberikan impak yang baik kepada rakyat supaya ia tidak membebankan. Bajet pada kali ini juga hendaklah mengutamakan kebajikan dan membela rakyat dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini," katanya.

Pembantu sebuah kedai aksesori, Noraqilah Tarmizi, 20, berkata peluang kerja yang terhad perlu dijadikan agenda kerajaan dalam pembentangan bajet 2019 bagi mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak kepada generasi Y.

Beliau berkata usaha itu akan membolehkan kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan apabila rakyat mendapat peluang pekerjaan demi kelangsungan kehidupan mereka.

-- BERNAMA