HULU TERENGGANU: Kerajaan diminta tidak meminggirkan destinasi pelancongan berkonsepkan alam semula jadi terutama di kawasan pedalaman dalam Bajet 2022 yang bakal dibentangkan 29 Okt ini.

Antara lain, usaha yang perlu diberi tumpuan adalah menyediakan pelbagai kemudahan asas untuk menarik lebih ramai pengunjung ke tempat-tempat pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Beberapa pengusaha rumah rakit yang ditemui di kaki Gunung Bongsu, berhampiran Tasik Kenyir berharap, kemudahan asas dapat dipertingkatkan, di samping melestarikan kawasan berkenaan.

Seorang daripada mereka Rohana Embong berkata, pihaknya memerlukan bantuan kerajaan antara lain untuk memperbaiki infrastruktur jalan raya.

"Setiap kali pelancong datang, mereka akan merungut tentang jalan. Mereka suka suasana seperti di sini, tetapi keadaan jalannya menyusahkan sikit untuk mereka," katanya.


Ariadi Abdul Malik, Pengusaha Rumah Rakit. - Foto Astro AWANI

Perkara sama turut dibangkitkan seorang lagi pengusaha rumah rakit, Syukri Mohamad, yang turut menyentuh mengenai keperluan tempat letak kereta yang sesuai.

"Begitu juga, dari segi pemandangan tempat ini, perlu dikekalkan. Jangan dibenarkan orang menceroboh.

"Juga, dari segi hebahan. Perlu dimaklumkan supaya ada kesedaran masyarakat tentang pentingnya kebersihan.

"Dari segi kemudahan, memang amat diperlukan, sebab lokasi kami jauh dari pekan atau bandar," tambahnya.


Rohana Embong, Pengusaha Rumah Rakit. - Foto Astro AWANI

Seorang lagi pengusaha, Nik Zurina Mustafa, turut bersetuju yang keadaan jalan di kawasan itu perlu dibaik pulih.

"Itu harapan kami. Orang datang, kebanyakannya dengan kenderaan yang cantik-cantik, dikhuatiri boleh rosak dalam keadaan jalan sekarang.

"Kalau boleh, perbaiki jalan dulu. Itu yang penting. Besarkan jalan dan sediakan tempat parkir," katanya. 

Azmi Mohd Razali, Pengusaha Rumah Rakit. - Foto Astro AWANI

Sementara itu, pengusaha Azmi Mohd Razali turut membangkitkan mengenai pengurusan pembuangan sampah di kawasan itu.

"Sampah susah nak dibuang. Kita kena bawa keluar agak jauh, hampir 30km, untuk membuang sampah di tempat yang betul. Kalau tidak, kalau dibuang di tempat biasa di sini, akibatnya akan berterabur diusik binatang," katanya.

Syukri Mohamad, Pengusaha Rumah Rakit. - Foto Astro AWANI


Ariadi Abdul Malik pula membangkitkan mengenai promosi yang kurang menyerlah untuk produk pelancongan di kawasan tersebut.

"Promosi biarlah menyeluruh. Untuk semua produk, termasuk bot laju, rumah bot, rumah rakit. Alhamdulillah sekarang makin bertambah, ramai orang sudah mula kenal rumah rakit di sini," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris mengumumkan aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir yang mempunyai 340 buah pulau itu, dibenarkan beroperasi sepanjang musim tengkujuh.