KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan pelaburan yang bakal memasuki negara ini adalah berkualiti serta berteknologi tinggi, dan bukan bersifat ‘labour intensive’ sehingga terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya negara terlampau bergantung kepada pekerja asing, ia akan membebankan tahap produktiviti Malaysia.

Jelas Ahli Parlimen Gombak itu lagi, beliau percaya pelaburan yang menepati kriteria yang digariskan, dapat menyediakan peluang kepada tenaga kerja tempatan yang beliau sifatkan – mempunyai bakat dan kemahiran yang diperlukan.

“Sebab itu apabila syarikat multinasional yang besar ini masuk ke dalam negara, ia membantu perniagaan kecil dan sederhana (SME) dalam negara kita, untuk memenuhi permintaan rantaian bekalan global.

“Jadi ini sedang kita lakukan, dan terbukti tahun ini walaupun negara menghadapi pandemik yang belum lagi selesai, tapi pelabur asing masih yakin Malaysia merupakan hab destinasi pelaburan dan kita telah mencatatkan RM107.5 bilion dalam enam bulan pertama,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Iltizam Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, dan menyampaikan bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kepada penduduk, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini, Azmin berkata, MITI telah menyampaikan beberapa permohonan kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk diperkenalkan insentif baharu, terutamanya bagi memudahcara perniagaan dari luar.

“Kita tidak boleh berpegang kepada tawaran yang lama, tetapi juga new value proposition mesti diperkenalkan…khususnya mengenai the ease of doing business.

“Mereka (pelabur asing) mahu lihat bagaimana institusi kerajaan seperti Persekutuan, Negeri atau MITI sendiri dapat memberikan kelulusan dengan segera. Tidak melengahkan jangan banyak sangat birokrasi. Ini sedang dilihat pelabur.

“Bukan saja soal insentif fiskal, tapi dalam bentuk segerakan kelulusan. Kita akan tumpu perkara ini dalam Belanjawa 2022,” katanya lagi.