Kementerian Pendidikan memberi jaminan untuk memastikan bajet bidang pendidikan untuk tahun hadapan tidak akan dipotong lagi menjelang pembentangan Bajet 2019 yang dijadualkan pada 2 November ini.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata antara inti pati bajet pendidikan adalah menumpukan usaha memperbaik infrastruktur dan membaik pulih sekolah di samping memperkasakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di universiti.

“Cadangan ini telah dihantar ke Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dan sebenarnya bidang kemahiran seperti TVET memberi peluang para pelajar kita untuk dapat pekerjaan lebih meluas dalam bidang ini (TVET).

“Manakala bagi sekolah daif pula, kita sudah boleh selesaikan 394 sekolah. Ini melebihi sasaran 10 peratus sekolah daif sejak kita mengambil alih tampuk pemerintahan dan pada tahun hadapan, kita harap boleh capai 50 peratus, melebihi tahun ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata demikian pada Pelancaran Laluan Baharu Bas Harapan Johor dari Simpang Renggam ke Renggam di Terminal Bas Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pengangkutan Awam Johor, Ramli Abdul Rahman; Adun Mahkota yang juga Ketua Amanah Kawasan Simpang Renggam, Mohd Said Jonit dan Ketua Cabang PKR Simpang Renggam, Wong Yung Ching.

Menurutnya, beliau juga turut mengikuti perkembangan pendidikan di negara ini secara dekat terutama berkaitan infrastruktur selain mengakui kebanyakan kerja baik pulih sekolah daif membabitkan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, pihaknya juga sedang membuat kertas cadangan mengenai pemberian elaun tambahan sara hidup guru di kawasan kritikal Johor dan Selangor sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan guru di dua negeri berkenaan.

“Saya sendiri mahukan perkara itu (elaun khas) dilaksanakan namun sekarang perkara ini masih lagi di peringkat cadangan sebelum ia dilaksanakan,” katanya.