Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014 membuktikan kerajaan Persekutuan mengiktiraf perayaan itu yang menjadi satu daripada acara besar di peringkat kebangsaan setiap tahun, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata sambutan itu amat besar ertinya kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini.

"Di Malaysia kita menyambutnya pada setiap tahun dalam keadaan meriah dan penuh kemesraan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina tetapi juga oleh kaum lain, yang turut sama menyambutnya dengan cara kunjung-mengunjung pada majlis rumah terbuka," katanya ketika berucap pada sambutan itu, malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sambutan berkenaan mampu menyemarakkan industri pelancongan khususnya di Perak, yang memiliki pelbagai daya tarikan.

"Para pelancong dari barat khususnya, sentiasa teruja melihat perayaan di negara ini di samping melawat tempat menarik serta membeli-belah.

"Walaupun mereka berada jauh dari tanah air mereka, keadaan sekeliling, suasana, bunyi-bunyian dan warna-warni semasa perayaan tentunya menarik perhatian mereka," katanya.

Sementara itu, Taiping yang terkenal sebagai Bandar Warisan, menerima ribuan tetamu malam ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2014 di Dataran Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama di sini.

Kemuncak sambutan yang bermula petang tadi diwarnai pelbagai persembahan kebudayaan pada sebelah malam bagi mencerminkan kemajmukan serta kepelbagaian adat resam budaya, yang menyatupadukan perbezaan dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus menepati slogan 'Malaysia Truly Asia'.

Suasana penuh warna-warni dengan hiasan lilitan kain merah serta tanglung yang bergantungan sekitar lokasi Rumah Terbuka, dimeriahkan lagi dengan lagu Gong Xi Fa Chai, paluan gendang dan tarian singa oleh Johor World Champioship Lion Dance seiring ketibaan para pemimpin serta orang ramai.

Selesai berucap di pentas utama yang dihias seperti istana Maharaja Cina, Najib menekan butang khas dan serentak dengan itu, sebuah replika kuda keluar dari bahagian tengah, kiri serta kanan pentas utama meraikan kehadiran Tahun Kuda mengikut kalendar Lunar, tanda perasmian majlis yang penuh makna.

Persembahan pembukaan mengimbau kisah Hang Li Po (Cinta Kita), tarian singa dan seni mempertahankan diri Wushu turut diselit untuk tontonan hadirin.

Pengunjung turut dihiburkan dengan gesekan merdu alat muzik Cina iaitu Erhu, persembahan nyanyian Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan Kumpulan Chingay.

Objektif program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri Perak bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu antara lain bagi menjalin hubungan mesra pemimpin-rakyat, mengetengahkan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina dan menjadi wadah pelancongan selain memupuk perpaduan serta persefahaman masyarakat pelbagai kaum.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran peserta MegaFam dari 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Mexico, Itali, Jerman, Hong Kong, Australia, China, Bangladesh, Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.

Sambutan Rumah Terbuka malam ini juga dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, pameran dan demonstrasi pembuatan kraf seperti seni ikatan tali dan tanglung pada sebelah petang.

Pengunjung berpeluang menikmati juadah juga menyerlahkan kepelbagaian cita rasa masyarakat Malaysia seperti bihun goreng Cina, Yee Sang, mi udang, char kuetiau, murtabak ayam, sate ayam, nasi ayam dan menu untuk vegetarian.