AYER KEROH: Kelicikan seorang penganggur melakukan jenayah pecah tabung masjid sekitar Melaka terbongkar apabila dicekup pihak polis di sebuah rumah di kawasan Pantai Puteri, Tanjung Kling, Jumaat lalu.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan hasil serbuan pegawai dan anggota pasukan petugas dari cawangan (D4) Risikan/Operasi/Rekod, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menerusi Op Tabung kira-kira pukul 12.15 pagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek yang bergerak seorang diri terlibat dengan 23 jenayah pecah tabung masjid dan surau di sekitar Melaka.

“Suspek telah mengaku melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau di sekitar Melaka dengan pecahan 16 kes di daerah Melaka Tengah, enam kes di Alor Gajah dan satu kes di Jasin.

“Selain tu, suspek juga mengaku melakukan pecah tabung di beberapa masjid dan surau di Negeri Sembilan yang mana hasil duit yang diperolehi daripada jenayah tersebut telah gunakan untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan membeli dadah,”katanya dalam yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi digunakan oleh suspek yang dikenali sebagai ‘Bang Chik’ itu  adalah dengan memecah masuk masjid dan surau yang tidak berkunci.

Katanya, suspek juga melakukan jenayah berkenaan antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi sebelum jemaah hadir untuk solat Subuh.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua buah motosikal serta beberapa peralatan dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek dalam jenayah pecah tabung masjid surau di Melaka.

"Suspek yang mempunyai 13 rekod jenayah dan enam rekod dadah kini direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zainol berkata, pada suku pertama tahun ini kes pecah tabung
masjid dan surau di Melaka menunjukkan trend yang membimbangkan.

“Berdasarkan statistik dari tempoh Januari hingga Mac 2022, sebanyak 41 kes telah dilaporkan dengan 30 kertas siasatan telah dibuka.

“Manakala bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021, hanya 17 kes sahaja dilaporkan dengan 11 kertas siasatan telah dibuka dengan peningkatan 24 kes,” katanya.