Masa depan para pelajar di SK Sungai Ladong, Sebuyau, Sarawak kini lebih cerah dan selamat apabila sekolah lama mereka yang usang dan tidak selamat serta berusia 59 tahun telah berubah wajah hasil saranan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa mengadakan lawatan ke sekolah itu Januari lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, perubahan yang sangat drastik sekolah berkenaan selepas kunjungannya pada Januari lepas amat menggembirakannya.

"Ini merupakan lawatan yang benar-benar bermakna kerana saya dapat menyaksikan sendiri perubahan yang sangat drastik di sekolah SK Sungai Ladong dalam tempoh tujuh minggu biarpun pihak-pihak terlibat terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan.

"Saya juga akan sentiasa memastikan bahawa setiap komuniti akan berpeluang menikmati kemudahan yang lengkap dan berkualiti dalam usaha kerajaan untuk memperkasakan generasi muda negara ini," katanya.

Sementara itu, bagi Guru Besar sekolah SK Sungai Ladong, Anuar Alem, beliau mewakili pihak sekolah dan masyarakat setempat amat gembira dengan terbinanya bangunan konkrit dua blok setingkat itu.

Ia turut dilengkapi enam bilik darjah serba baru dan siap dibina dalam tempoh tujuh minggu menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS).

Sebahagian pelajar SK Sungai Ladong menunjukkan rasa gembira di bangunan baharu sekolah mereka. - Foto Astro AWANI

Impak besar

Menurut Anuar, saranan dan gesaan Perdana Menteri untuk menyegerakan pembinaan sekolah berkenaan benar benar memberikan impak besar kepada pihak sekolah, para pelajar dan masyarakat setempat.

"Perdana Menteri telah benar-benar mengubah kehidupan masyarakat setempat di sini dan memberikan impak positif yang amat besar.

"Beliau (Najib) bukan sahaja telah merealisasikan pembinaan bangunan sekolah baharu yang selesa dan selamat, namun telah memberi inspirasi kepada semua pihak yang terlibat untuk terus komited menyiapkan pembinaan dalam masa yang singkat meskipun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran berkaitan dengan struktur tanah dan cuaca," katanya.

Selain enam bilik darjah, bangunan baharu sekolah itu dibina di atas tiang pertahanan yang lebih tinggi, turut dilengkapi sebuah makmal sains berserta dua kuarters guru di samping kawasan rekreasi untuk memberi persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada 172 orang pelajar dan 19 orang guru.

Bangunan lama SK Sungai Ladong yang mula dibina pada tahun 1957 berada dalam keadaan yang usang di samping menghadapi masalah hakisan tanah hingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

Najib telah menyampaikan ucapan ringkas pada petang Ahad semasa mengadakan tinjauan mesra kali kedua di sekolah itu.

Turut hadir Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Tumpang, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan ADUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi.

Najib diberi taklimat ringkas sewaktu membuat tinjauan prasarana baharu SK Sungai Ladong. - Foto Astro AWANI