Banjir: 225 mangsa dipindahkan ke dua PPS di Kulim

Anggota APM menyelamatkan mangsa banjir yang terjejas di Kulim sejak malam tadi untuk dipindahkan ke PPS. - Foto APM/Sinar Harian
KULIM: Seramai 225 mangsa daripada 66 keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini susulan banjir yang melanda sembilan kampung di Mukim Sungai Seluang dan Mukim Naga Lilit di sini sejak malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, PPS Masjid Al-Muhtadin Sungai Seluang mula dibuka pada 10 malam bagi menempatkan 186 mangsa.
Seramai 39 mangsa lagi ditempatkan di PPS Surau KEDA Naga Lilit yang dibuka pada jam 4 pagi hari ini.
Menurutnya, antara kampung yang terjejas termasuk Kampung Sungai Seluang Atas dan Bawah, Kampung Bukit Sarang Ayam, Kampung Siam, Kampung Titi Tok Aris, Kampung Paya Serdang, Kampung Batu 7¾ Padang Serai, Kampung Balik Bukit dan Kampung Naga Lilit.
"Keseluruhan mangsa melibatkan 66 dewasa lelaki, 73 dewasa perempuan, 35 kanak-kanak lelaki dan 48 kanak-kanak perempuan. Turut direkodkan ialah tiga bayi serta 23 warga emas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Operasi menyelamat melibatkan kekuatan 47 petugas daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Jelas Amirul Aliff, logistik yang digunakan dalam operasi termasuk dua buah bot, 20 jaket keselamatan, satu kayu penyukat, satu throw bag dan empat pasang kasut getah.
Menurutnya, cuaca semasa dilaporkan cerah dan paras air sungai menunjukkan trend menurun.
Sementara itu, satu lagi PPS di SK Permatang Tok Dik telah dibuka pada jam 5 pagi ini namun data jumlah mangsa dan keluarga masih sedang dikemas kini.
"Pihak berkuasa terus memantau keadaan semasa dan menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa," kata Amirul Aliff. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


