KUANTAN: Sebanyak 6,785.3 tan metrik sampah yang terdiri daripada barangan kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir di Pahang telah dikutip sehingga hari ini dengan tiga daerah paling banyak kutipan ialah di Kuantan, Temerloh dan Bentong.

Menurut Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) Negeri Pahang,  Shahrudin Hamid, jumlah sampah banjir tersebut dijangka meningkat sehingga melebihi 10,000 tan metrik setelah semua kerja pembersihan siap.

Bagi mempercepatkan kerja-kerja pembersihan, sebanyak 14 tapak transit telah diwujudkan seluruh Pahang dengan persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan tapak-tapak transit diwujudkan di kawasan berhampiran perumahan.

Tapak transit ialah kawasan pengumpulan sementara sampah-sampah dari taman-taman perumahan yang dibuang akibat banjir sebelum dari lori yang lebih besar mengalihnya ke tapak pelupusan sampah sebenar. 

Menurut Shahrudin, pihaknya juga menjangkakan lebih banyak sampah akan terkumpul di daerah Temerloh dan Bentong kerana kedua-dua daerah berkenaan terjejas teruk akibat bencana alam itu.

“Banyak kawasan terjejas dan kita menjangkakan proses itu akan berlaku kita dah menggerakkan jentera-jentera kita dengan bantuan bantuan pihak PBT, agensi-agensi lain, agensi kerajaan dan NGO (badan bukan kerajaan) serta syarikat-syarikat besar,” kata Shahrudin.

Bagi mempercepatkan proses pembersihan, SWCorp Pahang juga, kata beliau, telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi untuk menggerakkan keseluruhan aset mereka dan mengalu-alukan beberapa pihak yang telah menyumbangkan lori bersesuaian untuk membantu kerja-kerja pembersihan di seluruh negeri itu.