BANTING: Tragedi banjir yang melanda di Kampung Bukit Changgang di sini, merupaka bencana terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lalu.

Lantaran tidak menjangka keadaan akan menjadi seburuk itu, penduduk di kampung berkenaan hanya mampu menyelamatkan dokumen penting sahaja sementara kenderaan dan perkakas di kediaman masing-masing musnah ditenggelami air.

Bagi seorang penduduk, Amir Sham, 47, kesyukuran dipanjatkannya kepada Allah kerana lima ekor kucing peliharaannya dapat diselamatkan.

Selama lima hari, haiwan kesayangannya itu terkandas di kediamannya yang terletak berhampiran Sungai Langat,

Sepanjang tempoh itu, Amir tidak dapat membantu menyelamatkan kucing-kucing berkenaan kerana dia air banjir menghalangnya pulang ke rumah.

Dengan bantuan seorang pemandu bot, Amir dapat mengharungi banjir menuju rumahnya bagi menyelamatkan kucing-kucing itu.

Jelasnya, meskipun segala perkakas kediaman serta kenderaannya tidak dapat diselamatkan, namun, Amir berjaya menyelamatkan kucing peliharaan sudah cukup melegakannya.

“Alhamdulilah walaupun kita di luar selama lima hari boleh makan minum ala kadar saja, namun, kita mesti ingat kucing kita,” jelas Amir.

Antara nama diberikan Amir kepada kucing peliharaannya yang berjaya diselamatkan ialah Naruto dan Super Saiya.

Banjir di Kampung Bukit Changgang menjejaskan hampir 10,000 penduduk dengan 2,000 kediaman ditenggelami air melebihi dua meter pada Sabtu dan Ahad lalu.

Banjir | Perkembangan banjir di Bukit Changgang, Banting