PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) membuat kesimpulan bahawa kejadian banjir puing yang berlaku di Sungai Kupang, Baling, Kedah Julai dan Ogos lalu adalah disebabkan fenomena proses geologi berangkai iaitu kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terain perbukitan granit terluluhawa.

Menurut Ketua Setiausahanya Datuk Rosli Isa, proses berkenaan bermula akibat beberapa faktor termasuk akibat hujan lebat melampau dan diikuti pembentukan aliran puing, banjir puing dan banjir lumpur.

Selain itu hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak tahun 2010 telah meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai.

"Keadaan ini diburukkan lagi apabila jambatan Kampung Iboi menjadi 'empangan sementara' ketika banjir puing berlaku.

"Ini menyebabkan banyak puing pasir dan kayu kayan terkumpul lalu pecah dan menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda," katanya pada sesi taklimat kepada media Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah di sini petang tadi.

Laporan berkenaan jelasnya adalah hasil daripada kajian Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling yang diketuai oleh KeTSA yang ditubuhkan 20 Julai lalu.

Ia turut disertai tiga  kementerian lain serta 22 jabatan dan agensi teknikal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah serta tiga badan profesional.

Jelasnya lagi, bahan puing dan kayu kayan yang sudah terdampar menjadi banjir lumpur yang menyebabkan kerosakan harta benda dan penempatan pada hilir kawasan terbabit.

Tanah runtuh dalam kejadian tersebut telah menyumbang sejumlah 0.3 juta meter padu dan aliran puing pula menyumbang 2.6 juta meter padu selain banjir puing menyumbang 3.3 juta meter padu.

Sementara itu anggaran berdasarkan kuantiti bahan puing di dalam alur sungai selepas bencana aluran sungai selepas bencana menunjukkan jumlah air sebanyak 11 juta meter padu.

Jumlah keseluruhan sisa terdampar yang terkumpul bahagian hulu sungai ketika ini adalah berjumlah  2 hingga 3 juta meter padu.

[TERKINI] Tragedi | Perkembangan banjir di Baling