KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan laporan penilaian alam sekitar (EIA) terhadap cadangan ladang hutan di Gunung Inas di Baling, Kedah diluluskan untuk projek penanaman hutan kayu getah gantian kepada kawasan hutan yang ditebang untuk pembalakan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kelulusan EIA itu dipohon pada peringkat awal projek berkenaan.

Manakala bagi projek selepas itu tiada permohonan EIA dikemukakan oleh pemaju.

"Peringkat awal EIA dia mohon dan kita lulus untuk projek penanam getah sebagai kayu hutan gantian kepada pembalakan itu memang ada EIA, yang lain tidak ada EIA.

"Walaupun tiada EIA, pemantauan projek perlu dibuat saya, masih. Kita di peringkat kementerian kita tubuh  jawatankuasa khas yang terdiri dari Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS),  Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan saya minta laporan disediakan kepada saya selewat-lewatnya petang ini untuk saya bincang hendak tengok dalam konteks kementerian," katanya di sini hari ini.

Gunung Inas | Kelulusan EIA untuk projek tanam hutan kayu getah gantian


Kajian itu juga kata Tuan Ibrahim antara lain ingin melihat punca sebenar kejadian banjir yang meragut tiga nyawa dan memusnahkan kediaman serta harta benda.

Ianya sama ada dakwaan berlaku kolam takungan air yang pecah, atau berlaku fenomena kepala  air yang memungkinkan berlaku kejadian buruk itu seakan-akan sama dengan apa yang berlaku di Janda Baik, Pahang tempoh hari.

Tuan Ibrahim berkata dua kemungkinan kejadian kepala air yang biasanya berlaku pertama kerana taburan hujan dengan jumlah yang banyak yang mengundang berlaku pergerakan tanah dan runtuhan tebing.

Manakala yang kedua punca kepala air ialah berlaku runtuhan tanah dan menutupi laluan sungai di bahagian hulu sehingga membentuk takungan air yang besar.

Bagaimanapun beliau akan menunggu hasil laporan yang akan dikemukakan oleh agensi bawah kementeriannya.