KUCHING: Helikopter dari pangkalan udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Subang, Selangor sedia digerakkan ke Sarawak bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman berkata pada masa ini pihaknya mempunyai sebuah helikopter yang berpangkalan di Miri yang sedia digerakkan ke kawasan memerlukan.

Beliau berkata khidmat helikopter diperlukan ketika bencana banjir bagi tujuan operasi menyelamat mangsa dan penghantaran makanan di kawasan yang terputus hubungan melalui jalan darat.

"Sekiranya keperluan mendesak, kita akan gerakkan helikopter untuk memberikan bantuan terutamanya di sekitar kawasan Hulu Baram, Miri.

"Sebuah helikopter boleh membawa sekitar enam ke tujuh tan makanan setiap kali penerbangan ke kawasan terjejas," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi pengujian bot JBPM Sarawak bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di Taman Negara Bako di sini hari ini.

Khirudin berkata selain penghantaran makanan melalui helikopter, setiap pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dibekalkan dengan makanan yang boleh bertahan selama tujuh hari.

Mengulas mengenai operasi hari ini, beliau berkata tujuan pengujian dibuat adalah bagi memastikan anggota mengenali kawasan mereka dan aset air milik JBPM boleh bertindak cepat sekiranya diperlukan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata fasa Peralihan Monsun di negara ini dijangka bermula pada 3 Okt hingga November ini.

Semasa Fasa Peralihan Monsun itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

-- BERNAMA