PUTRAJAYA: Bilik Gerakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di seluruh negara telah diaktifkan bagi membantu mangsa banjir terutama golongan petani, penternak dan nelayan di negeri yang terjejas bencana itu.

MAFI dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya melalui MAFI Inc. di negeri-negeri, menggerakkan jabatan dan agensi untuk segera memantau, siap siaga selain turun padang meninjau keadaan golongan sasar yang terjejas.

"Ia bagi menilai kerosakan dan kerugian yang dialami serta segera menghulurkan bantuan kepada pihak terlibat. Bilik Gerakan Bencana Pusat juga digerakkan bagi persiapan berkaitan intervensi bantuan kepada komuniti agromakanan yang terjejas disebabkan bencana banjir," menurut kenyataan itu.

Menurut MAFI pihaknya juga sentiasa siap siaga untuk menyalurkan bantuan sejurus maklumat berkaitan diperoleh di lapangan.

Laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman secara kumulatif hingga hari ini adalah seramai 256 petani dengan anggaran keluasan 374.81 hektar kawasan terlibat membabitkan empat daerah di Pahang, masing-masing dua daerah di Kedah, Perak dan Selangor serta satu daerah di Johor

"Tumpuan utama kini diberikan kepada pemantauan situasi secara harian oleh pasukan MAFI Inc. di setiap negeri dan daerah yang terkesan. Negeri lain diminta untuk siap siaga selain berkerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi situasi luar jangka," menurut MAFI.

-- BERNAMA