KUALA LUMPUR: Pahang tidak lagi mempunyai kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat selepas stesen Rompin kembali ke kategori sederhana setakat jam 3 petang ini.
Mengikut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Rompin mencatat bacaan 99 berbanding 105 pada jam sebelumnya.
Stesen itu menyertai Jerantut (99), Balok Baru, Kuantan (97), Temerloh (97) dan Indera Mahkota, Kuantan (96) yang turut berada dalam kategori sederhana.
Bagaimanapun, Terengganu masih mempunyai satu kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Paka dengan bacaan 156, manakala Kemaman kekal dalam kategori sederhana pada paras 98.
Perkembangan itu menyaksikan jumlah kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara berkurangan kepada 25 berbanding 26 kawasan pada jam 2 petang tadi.
Kualiti udara di Pantai Timur turut menunjukkan peningkatan, namun keadaan di Lembah Klang masih tidak sihat apabila stesen Batu Muda di Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU tertinggi negara iaitu 174.
Bacaan IPU di Petaling Jaya, Shah Alam dan Johan Setia pula kekal pada paras 170, manakala Cheras meningkat satu mata kepada 169. Putrajaya (164), Klang (163) dan Banting (162) turut kekal tanpa perubahan ketara.
Di wilayah selatan, kualiti udara secara keseluruhan tidak banyak berubah. Di Negeri Sembilan, Nilai kekal pada paras 165, manakala Seremban mencatat penurunan satu mata kepada 162 dan Port Dickson meningkat satu mata kepada 154.
Di Melaka, Bukit Rambai kekal pada bacaan 167, manakala Alor Gajah dan Bandaraya Melaka masing-masing meningkat satu mata kepada 156.
Di Johor, sebahagian besar stesen merekodkan bacaan tidak berubah termasuk Larkin (158), Pasir Gudang (156), Kota Tinggi (156), Kluang (155), Pengerang (155), Tangkak (154) dan Batu Pahat (152).
Sementara itu, kualiti udara di Perak menunjukkan perubahan kecil dengan Tasek Ipoh mencatat bacaan 155, diikuti Pegoh, Ipoh (151) dan Tanjung Malim (118).
Di Malaysia Timur, semua stesen di Sabah dan Sarawak tidak merekodkan bacaan IPU tidak sihat. Antara kawasan yang berada dalam kategori sederhana ialah Samarahan (84), Sri Aman (79), IPD Serian (78) dan Kuching (75).
Kategori kualiti udara baik (IPU 0 hingga 50) kini bertambah kepada lapan kawasan di seluruh negara selepas Balik Pulau di Pulau Pinang mencatat bacaan 49.
Kimanis di Sabah kekal sebagai kawasan dengan udara paling bersih di Malaysia dengan bacaan IPU 28, diikuti Langkawi, Kedah (35), ILP Miri, Sarawak (39), Kota Kinabalu (41), Limbang, Sarawak (41), Miri, Sarawak (42) dan Politeknik Kota Kinabalu (42).