DUNGUN: Penggunaan teknologi dron antara inisiatif yang digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memantau dan menilai tahap risiko kawasan yang terjejas akibat banjir.

Menurut Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid, sebanyak enam unit dron telah diterbangkan di kawasan 'hot spot' bermula Khamis.

Beliau berkata, dron yang dilengkapi kamera, infrared itu dapat membantu pasukan penyelamat membuat pemantauan dari udara pada jarak sejauh 10 kilometer.

“Tidak semestinya banjir saja… kita akan akan melibatkan semua kejadian bencana di negeri Terengganu ini. Kita akan menggunakan kemudahan dron kita sendiri, dan mungkin ada juga bantuan daripada polis,” kata Md Hilman.



Beliau berkata, rakaman imej melalui dron membolehkan pihaknya mengatur strategi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas.

Setakat ini Terengganu mempunyai dua unit dron selain turut dibantu kepakaran daripada Akademi Bomba Wakaf Tapai serta JBPM Melaka dan Kedah.

Jelasnya, penggunaan dron akan digerakkan ke kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir mengikut keperluan semasa.