MESKIPUN tiga atau empat hari lalu cuaca di daerah Muar cerah dan tidak mengalami hujan lebat, namun paras air Sungai Muar terus meningkat naik sebelum melimpah ke kawasan berdekatan.

Namun memetik laporan Berita Harian, kejadian banjir di daerah Muar yang teruk khususnya di Lenga dan Bukit Kepong kali ini berpunca daripada limpahan air di Sungai Muar.

“Tinjauan NSTP mendapati kawasan berkenaan berada berdekatan dengan Sungai Muar yang paras airnya di tahap bahaya menyebabkan banyak kawasan kampung dilanda banjir walaupun banjir kali ini tidak seburuk banjir pada 2006.

“Paras air Sungai Muar terus meningkat dipercayai berpunca daripada limpahan air banjir daripada Pahang dan Segamat, Johor yang berlaku baru-baru ini,” menurut laporan itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Muar, Mejar (PA) Ahmad Aliuddin Mohd Amin berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia membantu penduduk kampung yang terjejas akibat bencana banjir.

“Mangsa banjir di PPS juga perlu melaporkan kepada pihak pengurusan bencana banjir jika mereka mahu pergi ke mana-mana sama ada mahu pulang memeriksa rumah atau sebagainya.

"Pihak pengurusan banjir perlu sentiasa tahu keberadaan mangsa banjir dan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir kerana kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

BACA: Penduduk Muar lega air mula surut selepas empat hari terputus hubungan 

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Banjir: N.Sembilan pulih sepenuhnya, dua negeri catat penurunan mangsa 

Tambah Aliuddin, pihaknya membantu memudahkan penyampaian sumbangan barang keperluan mangsa pada sebelah siang.

Manakala pada waktu malam, mereka lebih tumpu pada hal-hal kecemasan terutamanya di kawasan banjir yang jauh daripada PPS dan terputus jalan seperti usaha mengeluarkan dan menyelamatkan mangsa.

Setakat jam 6 petang, seramai 1115 mangsa daripada 318 keluarga terjejas banjir di Muar dan ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.