Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mengesahkan bahawa keadaan banjir di Pahang semakin buruk apabila lebih 5,000 mangsa dipindahkan di daerah iaitu Rompin, Kuantan, Pekan dan Maran.

Menurut laporan Bernama, seramai 2,595 mangsa dari 23 kampung di Rompin ditempatkan di enam pusat pemindahan, manakala sebanyak enam kampung di Pekan dengan 341 mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Di Kuantan pula, seramai 1,824 mangsa dari 23 kampung dipindahkan ke 23 pusat pemindahan dan di Maran 633 mangsa banjir dari sembilan buah kampung ditempatkan di tujuh pusat pemindahan.

Keadaan banjir dijangka bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.

Sementara itu laluan di KM28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan berhampiran jambatan Sungai Charu kini ditutup kepada semua jenis kenderaan berikutan dinaiki air melebihi satu meter.

Orang ramai diminta berjaga-jaga kerana hujan lebat dijangka berterusan.

Sementara itu, setakat 11.30 malam Isnin, hampir 2,000 mangsa melibatkan tiga negeri telah dipindahkan.

Johor sebelum ini mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,500 mangsa melibatkan 400 keluarga di 18 pusat pemindahan.

Empat wilayah terjejas iaitu Kluang, Mersing, Muar dan Segamat.

Banjir di Pahang turut menjejaskan empat wilayah, iaitu Kuantan, Maran, Pekan dan Rompin.