Seramai 75 penduduk Kampung Lintang dan Kampung Tok Sirat, di sini terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di kampung masing-masing selepas rumah mereka dinaiki air sejak awal pagi Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Unit Sungai Siput, Muhammad Hasrul Hashim berkata, banjir gelombang kedua itu menyebabkan dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Lintang dan Dewan Orang Ramai Kampung Tok Sirat.

Menurutnya, setakat jam 7 malam Ahad jumlah mangsa di kedua-dua pusat itu adalah seramai 75 yang mana terdiri daripada 17 keluarga dengan penambahan beberapa keluarga berikutan kenaikan paras air di kawasan tersebut.

Tambahnya, ketika ini keadaan di sana masih terkawal namun dikhuatiri keadaan mungkin akan menjadi lebih serius sekiranya hujan lebat secara berterusan di kawasan ini.

"Kita menerima panggilan berhubung kes banjir ini kira-kira jam 5.45 pagi Ahad dan anggota JPAM yang bertugas segera ke lokasi kejadian bagi membantu memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.

"Banjir mungkin berlaku disebabkan hujan sejak malam Sabtu dan besar kemungkinan ia menjadi punca kepada peningkatan air sungai yang kemudiannya menyebabkannya melimpah,"katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Ahad.

Katanya, JPAM akan terus bekerjasama dengan agensi lain dalam melakukan pemantauan di kawasan-kawasan terlibat bagi memastikan bantuan makanan dan keperluan tiba segera kepada mangsa banjir.

Tambah Muhammad Hasrul, pihaknya kini dibantu anggota daripada JPAM Kuala Kangsar bagi memudahkan operasi memantau dan memindahkan mangsa.

Ujarnya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan mendapatkan bantuan lebih ramai anggota dari daerah berdekatan sekiranya keadaan banjir di sana semakin teruk.

"Buat masa ini, paras air di Sungai Pelus turun sebanyak 53.70 meter,namun kita masih risau hujan yang berterusan akan menyebabkan keadaan banjir di sini lebih teruk. Justeru, kita akan melakukan persediaan lebih rapi dengan menempatkan beberapa anggota di lokasi berisiko.

"Selain itu, kita juga akan mengarahkan semua anggota supaya bersedia kerana khidmat mereka mungkin diperlukan bila-bila masa saja sekarang," tegasnya.

Dalam operasi tersebut, seramai 70 pegawai dan anggota daripada JPAM,PDRM,JKM dan RELA telah bersama membantu memindahkan mangsa secara selamat.