Terengganu terus menunjukkan penurunan apabila tinggal 2,489 mangsa daripada 657 keluarga sahaja ditempatkan di 32 pusat pemindahan di seluruh negeri itu setakat jam enam petang Khamis, menurut makluman Bilik Gerakan Bencana Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjangkakan banjir di negeri itu akan surut sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam masa dua hingga tiga hari lagi.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada cuaca yang diharap kekal baik tanpa hujan lebat berterusan yang dikhuatiri akan melanjutkan musibah.

"Keadaan semakin baik dan jumlah mangsa yang masih berada di pusat perpindahan pun semakin berkurangan.

"Cuma yang menjadi cabaran kepada kita selepas ini adalah pasca banjir, dari segi urusan pembersihan dan pembaikan kerosakan," katanya ketika melawat pusat pemindahan sementara di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, di sini pada Khamis.

Turut hadir bersama dalam lawatan adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bagi menghadapi fasa pasca, Ahmad Razif memaklumkan telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat-pejabat daerah dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta jabatan pendidikan untuk membuat penilaian kerugian.

Selain itu, beliau juga telah meminta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memaklumkan semua jabatan untuk mengenalpasti punca bencana dan menyiapkan laporan lengkap untuk tindakan susulan oleh pihak kerajaan.

"Apa yang saya dimaklumkan adalah banjir berlaku berpunca dari segi sistem perparitan. Hujan turun sekejap sahaja tapi air sukar nak keluar, jadi masalahnya adalah pada 'discharge' air.

"Perkara ini kita akan teliti dan akan mengambil tindakan segera," jelasnya lagi.

Ahmad Razif menafikan berlaku sebarang aktiviti di kawasan tadahan hujan terutamanya di hulu, dengan menyatakan banjir yang berlaku disebabkan jumlah hujan yang tinggi daripada kebiasaan, iaitu sehingga melebihi 500mm sehari.

Dungun mencatat kawasan paling ramai mangsa setakat petang tadi dengan 649 orang daripada 168 keluarga masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan, diikuti Hulu Terengganu (625 orang daripada 175 keluarga di empat pusat pemindahan) dan Kuala Terengganu (369 orang daripada 88 keluarga di tiga pusat pemindahan).

Daerah Kemaman pula masih ada lagi 342 orang daripada 97 keluarga di dua pusat pemindahan.

Sementara itu, Ahmad Shabery berpuas hati dengan pengurusan mangsa banjir di Kemaman yang menjadi model prosedur operasi standard (SOP) sejak 2014 apabila dimaklumkan keperluan mangsa sejak bermula bencana sehingga hari ini mencukupi dan sampai kepada sasarannya.

Selain itu, beliau turut melihat kesedaran penduduk Kemaman yang semakin meningkat terhadap kelebihan mengambil insuran bencana sebagai satu perkembangan positif.

"Ia melambangkan hubungan baik antara ketua kampung dengan penduduk yang yakin dengan konsep mengambil perlindungan. Itu paling penting.

Bagi tahun ini katanya, kira-kira 5,000 orang telah mengambil insurans bencana dan sekitar 145 pembeli sudah menuntut susulan bencana terbaru ini.

Dalam lawatan pada petang Khamis itu, Ahmad Shabery dan Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan baucar insurans bencana bernilai RM1,000 juga bekalan makanan kepada kesemua 45 keluarga yang berdaftar di pusat pemindahan DITC Teluk Kalong itu.