ISKANDAR PUTERI: Bencana banjir yang melanda negeri ini sejak 28 Feb lepas menjadi topik utama mendominasi hampir kesemua perbahasan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Paling terkesan ialah perbahasan yang dibawa Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) yang turut tidak terlepas menjadi mangsa banjir apabila bencana itu melanda kawasannya, dua minggu lepas, disifatkan terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Beliau turut mengimbau sejarah banjir di Sri Medan, Batu Pahat, yang disifatkan terlalu panjang, daripada banjir pertama yang dialaminya pada tahun 1986 lagi.

"Kemudian pada 2006, selepas 20 tahun kita menghadapi banjir pada 1986, 2006 kita menghadapi sekali lagi. Dan pada kali ini setelah 17 tahun, kita menghadapi banjir dua kali pada tahun 2023," kata beliau pada sesi perbahasan pada mesyuarat pertama bagi penggal persidangan kedua DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Meskipun acap kali wakil rakyat negeri ini memohon peruntukan untuk pembangunan, beliau berkata ia dilihat tidak bermakna kerana semua pembangunan di kawasan itu musnah sekelip mata dalam masa dua minggu sahaja.

"Kita bina jalan daripada jalan 10, 12 kaki kita nak mintak lebarkan, daripada parit yang tidak cukup dalam, kita mintak dalamkan ya, bangunan kalau boleh kita nak bangunan pencakar langit, semua kita mohon, semua kita mintak dengan kerajaan negeri bantu.

"Tetapi oleh kerana dengan dua minggu sahaja, berlaku banjir seperti ini, rosak, musnah semua pengorbanan kita selama ini. Bukan kata RM10 juta, saya rasa lebih daripada ratus juta kerugian yang ditanggung oleh rakyat Sri Medan," tambah beliau.

Sambil mengingatkan tugas kerajaan bukan mudah, beliau berharap agar kerajaan negeri mengadakan post-mortem dan mengenal pasti punca bencana tersebut, selain mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan Empangan Sri Medan serta memaklumkan perkembangan terkini pembinaan lapan rumah pam air di Sungai Simpang Kiri.

Selain itu, beliau juga memohon agar agensi terlibat mempercepatkan bantuan kepada mangsa banjir memandangkan segelintir besar kehilangan bukan sahaja harta benda tetapi juga punca rezeki mereka.

Turut berkongsi isu yang sama, Datuk Dr Sahruddin Jamal (PN-Bukit Kepong) yang berharap agar kerajaan dapat belajar daripada bencana itu.

"Wujudkan pasukan petugas khas untuk menangani bencana banjir yang terdiri daripada agensi dan jabatan berkaitan, pakar, serta wakil rakyat daripada pihak kerajaan mahupun pihak pengimbang. Sediakan rangka tindakan yang akan menterjemahkan perancangan kerajaan negeri dalam isu ini," kata Dr Sahruddin yang merupakan bekas Menteri Besar Johor ke-17.

Selain pelaksanaan kajian, beliau juga berharap projek mitigasi bagi tujuan pengurangan risiko atau impak banjir selain daripada projek tebatan banjir diumumkan oleh kerajaan perlu untuk diberikan perhatian, apatah lagi dunia kian uzur dan berlakunya perubahan iklim global yang ekstrem.

"Semua ini, demi masa depan negeri serta nyawa rakyat. Oleh itu, kerajaan negeri harus belajar daripada situasi yang telah berlaku dan segera bertindak sebaik sahaja bencana pulih," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pengimbang Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) menyokong penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Iklim dan Pengurusan Banjir yang dicadangkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam.

"Saya pasti jawatankuasa ini mampu membantu Johor dalam menghadapi cabaran banjir monsun, banjir hujan lebat atau banjir kilat di samping menjalin kerjasama bipartisan," kata beliau.

Selepas banjir berakhir pada 10 Feb lepas, bencana itu kembali melanda negeri itu bermula 28 Feb lepas sehingga kini dengan lebih 85,000 rakyat Johor terjejas akibat bencana tersebut, dengan Batu Pahat menjadi daerah yang terjejas teruk melibatkan lebih kurang 50,000 mangsa.

-- BERNAMA