JELEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak memberi tumpuan penuh dalam menyalurkan bantuan pascabanjir, terutama membabitkan pembersihan kediaman mangsa terjejas.

Katanya, pertemuan bersama 13 menteri berkaitan, menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri yang terjejas juga telah diadakan secara maya bagi mencari jalan segera membantu mangsa banjir, khususnya di Selangor.

Katanya, kerajan telah mengatur agensi seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi untuk mempercepatkan proses pembersihan.

Katanya, selain pembersihan kediaman penduduk, kawasan awam turut diberi perhatian.

Untuk itu, katanya beliau telah meminta semua Ahli Parlimen dan pegawai daerah (DO) mengatur gerak agensi-agensi kerajaan untuk melakukan kerja pembersihan dengan segera supaya penduduk boleh pulang ke kediaman masing-masing.

"...(antara yang penting) dari segi peraturan lepas banjir surut adalah untuk masuk ke rumah... perlu dimaklumkan pada pusat pengurusan bencana sebab takut ada kabel putus, ada di jalan kampung atau sebagainya... kita takut ada kes lain.

"Saya harap benda ini dipercepat, saya tak mahu nanti kerana lewat bagi kelulusan (untuk pulang ke rumah) akan jejaskan dari segi mangsa balik ke rumah. Kalau macam sekarang dah tiada air (banjir) nanti pejabat daerah boleh benar balik ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan D’Sury Kuala Klawang, di sini, hari ini.


BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor


Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga akan menggerakkan lebih banyak aset di sekitar Selangor khususnya, termasuk 41 buat bot selain menggunakan khidmat bot nelayan.

Malah tambahnya, anggota dan pegawai agensi terlibat seperti pasukan tentera di negeri-negeri yang telah pulih sepenuhnya juga akan digerakkan untuk membantu negeri lain seperti Selangor dan Pahang.