Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Banjir Hatyai: 4,000 terkandas, Konsulat saran rakyat Malaysia tangguh perjalanan

Bernama 22/11/2025 | 07:30 MYT
Kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel sekitar Songkhla disebabkan jalan raya yang dinaiki air, menyebabkan mereka terputus dari pulang ke Malaysia melalui Sadao. - Gambar/ Muhammad Fahmi Izuddin
SONGKHLA: Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada Sabtu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.


Ringkasan AI
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand disebabkan banjir yang melanda kawasan tersebut akibat hujan lebat berterusan.
  • Sebanyak kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel sekitar Songkhla disebabkan jalan raya yang dinaiki air, menyebabkan mereka terputus dari pulang ke Malaysia melalui Sadao.
  • Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan bantuan makanan dan bot untuk memindahkan pelancong Malaysia yang terkandas ke kawasan selamat, tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.


Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

"Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan," katanya.

Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan menjaga keselamatan diri.

Beliau berkata untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha berkata pihaknya dimaklumkan terdapat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla akibat jalan raya yang dinaiki air.

"Sejak malam tadi, lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas...mereka terdiri daripada mereka yang ingin pulang ke Malaysia melalui Sadao tetapi jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir, serta mereka yang terkandas di hotel akibat pekan Hatyai dinaiki air," katanya.

Sitthipong berkata pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan dan bot bagi memindahkan mereka yang terkandas ke kawasan selamat.

Beliau berkata jumlah kenderaan milik pelancong Malaysia yang ditenggelami air masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selain itu, hujan yang berterusan sejak Isnin lepas telah menyebabkan lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

-- BERNAMA





#banjir Hatyai #rakyat Malaysia #konsulat Malaysia #Banjir selatan Thailand