JOHOR BAHRU: Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Johor dengan pembukaan satu pusat pemindahan sementara (PPS) lewat malam tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani, PPS tersebut dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Parit Haji Kamisan, menempatkan 121 mangsa banjir daripada 30 keluarga.

Katanya, keseluruhannya seramai 3,612 mangsa banjir daripada 1,014 keluarga ditempatkan di 35 PPS di negeri ini setakat jam 8 pagi.

"Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 1,392 orang daripada 393 keluarga di 13 PPS.

"Diikuti Kluang dengan 1,139 mangsa banjir daripada 325 keluarga yang ditempatkan di 11 PPS.

"Kota Tinggi mencatatkan 557 mangsa banjir daripada 136 keluarga di enam PPS manakala Mersing merekodkan 403 mangsa banjir daripada 130 keluarga di empat PPS," katanya.

Keadaan banjir di Batu Pahat pagi ini. - Foto ihsan APM

BACA: Banjir Johor: Mangsa meningkat kepada 3,000, dua lagi PPS dibuka 

Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memaklumkan, tiga jalan utama di negeri ini terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan, di Segamat, Kulai dan Kota Tinggi.

Jalan yang dinaiki air ialah Jalan Ladang Siang J223 di Kota Tinggi, Jalan Jabi-Bukit Tempurung (J516) di Segamat dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau yang berlaku tanah runtuh di tebing jalan.

"Ketiga-tiga jalan ini ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan termasuk kenderaan berat," kata Azmi dalam kenyataan hari ini.

Keadaan banjir di Batu Pahat pagi ini. - Foto ihsan APM

Sementara itu, Jalan Senai-Gemas (FT001) di Segamat yang terputus hubungan semalam akibat banjir sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

"Di Mersing, jalan terputus hubungan membabitkan jalan Jalan Utama Johor Bahru-Endau (FT003) yang dibuka satu lorong sahaja.

"Sementara Jalan Jemaluang-Batu Pahat (FT050) hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja, dan ditutup kepada kenderaan ringan," tambahnya.

Di Batu Pahat, 121 mangsa banjir daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS. - Foto ihsan APM