MERSING: Mersing menjadi daerah baharu dilanda banjir di negeri Johor selepas 13 penduduk daripada tiga keluarga dipindahkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, ia menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 6,694 mangsa banjir daripada 1,847 keluarga di tujuh daerah terjejas.

Katanya, kesemua mangsa ditempatkan di 63 PPS berbanding 5,878 mangsa banjir daripada 1,575 keluarga di 54 PPS pada jam 12 tengah hari tadi.

"Segamat kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi, melibatkan 2,071 penduduk daripada 639 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS.

"Kluang juga meningkat, melibatkan 1,952 mangsa banjir dari 518 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

"Disusuli daerah Kota Tinggi dengan 1,315 mangsa daripada 307 keluarga yang dipindahkan ke 13 PPS.

"Daerah Johor Bahru merekodkan seramai 1,004 mangsa daripada 296 keluarga, dengan sembilan PPS beroperasi.

"Daerah Kulai dan Pontian kekal jumlah jam 12 tengah hari iaitu Kulai membuka lima PPS yang menempatkan 320 mangsa daripada 80 keluarga, manakala Pontian dengan 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Azmi, trend banjir di negeri ini dijangka meningkat dengan hujan masih berterusan di kebanyakan tempat.

"Jabatan Meterologi juga menjangkakan hujan lebat berterusan melanda negeri Johor sehingga esok.

"Sungai di daerah terjejas juga meningkat kepada 15 sungai melepasi paras bahaya berbanding 11 sungai pada jam 12 tengah hari tadi.

"Antaranya Sungai Segamat, Sungai Labis, Sungai Lenik di Caah, Sungai Bekok, Sungai Kahang, Sungai Skudai, Sungai Ulu Pulai, Sungai Sayong, Sungai Pontian dan Sungai Johor," katanya.