JOHOR BAHRU: Kluang dan Johor Bahru menjadi daerah terbaharu yang terjejas akibat banjir dan menunut pembukaan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, daerah Kluang mencatatkan 22 mangsa banjir membabitkan lima buah keluarga, yang ditempatkan di dua PPS.

Katanya, terdapat seorang mangsa banjir direkodkan di Johor Bahru membabitkan sebuah keluarga dan telah ditempatkan di PPS Dewan Raya Sungai Tiram.

"Dua PPS yang baru dibuka di Kluang merupakan PPS Balai Raya Kampung Muhibbah dan PPS Balai Komuniti Kampung Melayu Batu 4, masing-masing di Paloh.

"Manakala PPS Dewan Raya Sungai Tiram merupakan satu-satunya pusat pemindahan yang dibuka di Johor Bahru setakat 8 malam tadi,” jelas beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Tiga air pasang besar diramal berlaku sehingga Februari

Terdahulu, daerah Kota Tinggi menjadi daerah ketiga yang terjejas banjir selepas Tangkak dan Segamat.

Secara keseluruhannya, kata Vidyananthan, sebanyak 45 PPS yang beroperasi di seluruh Johor yang menempatkan 2,553 mangsa daripada 663 keluarga setakat jam 8 malam tadi.

"Segamat merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 2,366 mangsa dari 598 keluarga, yang ditempatkan di 39 PPS

"Disusuli Kota tinggi yang mencatatkan 113 mangsa banjir daripada 36 keluarga, yang ditempatkan di dua PPS

"Hanya satu PPS beroperasi di Tangkak yang melibatkan 51 mangsa daripada 13 keluarga," jelas Vidyananthan lagi.

Beliau turut melaporkan, bilangan mangsa dan PPS dijangka akan bertambah susulan jumlah itu menunjukkan trend peningkatan setakat jam 8 malam tadi.