KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan pengurangan manakala di Kelantan kekal sama pagi ini.

Di TERENGGANU, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurang daripada 3,619 orang pada 10 malam tadi kepada 3,581 orang 8 pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus masih mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,598 orang daripada 430 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS manakala di Kuala Terengganu 956 mangsa daripada 279 keluarga di lima PPS.

Sementara itu di Marang, 732 mangsa daripada 183 keluarga berlindung di enam PPS manakala di Besut 272 mangsa daripada 60 keluarga di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut dan Balairaya Beris Tok Abu dan di Dungun 23 mangsa daripada lima keluarga di PPS SK Tok Kah.

Dalam pada itu paras air sungai di dua stesen utama iaitu Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman berada pada tahap amaran manakala Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman, pada tahap waspada.

Di KELANTAN, jumlah mangsa yang ditempatkan di enam PPS masih kekal 373 orang daripada 96 keluarga setakat 8.30 pagi ini, sama seperti malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 312 mangsa banjir di jajahan Pasir Puteh berada di empat PPS iaitu SK Dalam Rhu, SK Wakaf Raja, SK Sungai Petai dan Dewan Kompleks Kamil.

Di Bachok, 61 mangsa ditempatkan di PPS SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor.

Banjir di PERAK, telah pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir di SK Alor Pongsu, Kerian ditutup petang semalam.

Sekretariat JPBN Perak memaklumkan kesemua 39 orang daripada 14 keluarga yang berlindung di PPS itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing apabila banjir surut.

-- BERNAMA