KUALA LUMPUR: Situasi bencana banjir yang memasuki hari ketujuh menyaksikan penurunan jumlah mangsa di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala bilangan mangsa kekal di Kelantan dan Perak, sementara di ibu negara terdapat sedikit peningkatan, setakat pagi ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 37,356 orang pada pagi ini, berbanding 38,086 orang di 270 PPS, malam tadi menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Laman web Info Banjir pula melaporkan beberapa sungai masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Kuala Krau dan Lubuk Pasu, Temerloh; Water Front Bera; Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini di Pekan, selain Sungai Bera dan Sungai Kuantan.

Jabatan Meteorologi pula menjangkakan cuaca di Kuantan dan Pekan mendung pagi ini manakala daerah lain terjejas banjir iaitu Bentong, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera diramalkan tidak hujan.

Sementara itu, pemegang konsesi lebuh raya ke Pantai Timur di Pahang, ANIH Bhd memaklumkan laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak telah dibuka, namun pengguna dinasihatkan berhati-hati di laluan kontra di KM77.1 ke KM74.8 dan KM70.3 ke KM68.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 21,941 orang di 106 PPS pada 7.20 pagi berbanding 22,015 mangsa banjir di 109 PSS pada 8.13 malam tadi.

Dalam pada itu, pada 4 pagi tadi, Polis Selangor memaklumkan beberapa jalan telah dinaiki air dan ditutup melibatkan Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights; Jalan Olak Lempit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan bulatan Masjid KLIA menghala Charterfield KLI.

Turut ditutup ialah Jalan Jitu, Seksyen 25, Shah Alam; Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang; Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara; Jalan Sg Panjang - Tanjung Malim; Jalan Kuala Selangor-Meru; Jalan Kuala Selangor- Bestari Jaya dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) memberitahu aras air di Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat diletakkan sebagai status bahaya yang kini mengalami trend menurun setakat 7 pagi.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri ini adalah 301 individu daripada 82 keluarga dengan penutupan satu PPS di Seremban, manakala empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Katanya jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding malam tadi melibatkan 327 mangsa daripada 88 keluarga manakala jumlah kumulatif mangsa banjir direkodkan di negeri ini seramai 768 individu daripada 188 keluarga mangsa setakat ini.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir menurun kepada 135 mangsa daripada 34 keluarga setakat pukul 8 pagi tadi, dengan kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS yang masih dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di kekal seramai 1,559 orang daripada 532 keluarga melibatkan lapan PPS yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, sementara portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di negeri itu berada pada paras bahaya.

Hanya empat sungai berada para paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan masih kekal melibatkan 252 mangsa banjir daripada 70 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak, setakat 9 pagi.

Jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata seramai 109 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 143 lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Di KUALA LUMPUR, berlaku sedikit peningkatan jumlah mangsa apabila seramai 315 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di dua PPS pada pagi ini, berbanding 312 orang daripada 75 keluarga, malam tadi.

-- BERNAMA