KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka, Perak, Pahang dan Selangor menunjukkan penurunan manakala jumlah mangsa di Kelantan kekal, malam ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di 306 PPS di Pahang, Kelantan, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur setakat malam ini adalah seramai 46,524 orang.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 37 mangsa daripada 13 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 77 mangsa daripada 21 keluarga petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa berkenaan masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Daerah Alor Gajah dan Jasin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak lapan mangsa daripada empat keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah dan baki 29 mangsa daripada sembilan keluarga pula masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Benteng, di Daerah Jasin.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir di negeri itu mencatatkan penurunan lagi malam ini kepada 105 mangsa daripada 28 keluarga berbanding 111 orang daripada 30 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Daerah Hilir Perak.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata dua keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan telah pulang ke kediaman mereka di Batu 7 1/2 Lorong Mesra, Changkat Jong.

Katanya seramai 61 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 44 mangsa daripada 10 keluarga berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

Di PAHANG, menurut Info Bencana JKM merekodkan penurunan bilangan mangsa banjir malam ini apabila 26,494 orang ditempatkan di 193 PPS daripada 29,611 orang di 212 PPS petang tadi.

Jumlah daerah yang dilanda banjir kekal sembilan iaitu Kuantan, Maran, Jerantut, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Pekan.

Menurut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula, Sungai Bera masih berada di paras bahaya dengan trend menaik, turut berada di paras bahaya ialah Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir pada malam ini menurun kepada 17,656 orang di 99 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu daripada 17,891 orang petang tadi.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook rasminya memaklumkan dua buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) melibatkan Daerah Petaling dan Kuala Langat terpaksa ditutup sementara esok berikutan kejadian banjir melibatkan Klinik Kesihatan (KK) Seksyen 19, Shah Alam di Daerah Petaling yang akan dipindahkan sementara perkhidmatannya di KK Taman Medan, Petaling Jaya.

Manakala bagi Daerah Kuala Langat pula, CAC di Klinik Kesihatan Jenjarom dipindahkan perkhidmatannya ke Klinik Kesihatan Telok Datok, Banting.

Sementara itu Jumlah mangsa banjir di KELANTAN masih kekal seramai 974 orang daripada 332 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang kesemuanya dibuka di Jajahan Pasir Mas, setakat 10 malam ini.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya dengan dua sungai sahaja berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

-- BERNAMA