KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bekerjasama dengan semua pengarah perhutanan negeri supaya segera mengenalpasti kawasan berisiko tinggi (hotspot) di seluruh semenanjung Malaysia.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia sebagai tindak serta merta pihaknya terhadap laporan insiden berlakunya lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat dan banjir besar.

"Pada masa ini, JPSM telah menggunapakai aplikasi sistem 'forest monitoring using remote system' (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara 'real time'.

"Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

"JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama jelasnya, dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management- SFM).

Ia merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (Selective Management System - SMS) sejak tahun 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sejak tahun 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I) sejak tahun 2012.

Dari aspek penyelarasan dasar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara (MTN).

Susulan itu katanya, Mesyuarat MTN Ke-79 pada 2 Disember 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah mengambil pendirian yang tegas berhubung dua perkara penting.

"Ia berkenaan kelestarian sumber asli negara iaitu pelaksanaan moratorium ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 15 tahun serta pelaksanaan penguatkuasaan.

"Selain itu, penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam HSK di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022," jelasnya. 

Justeru itu, KeTSA komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

"Dalam hubungan ini, saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang," ujarnya.