WASHINGTON: Presiden Donald Trump menegaskan, insiden jet pejuang Amerika Syarikat (AS) yang ditembak jatuh oleh Iran tidak akan menjejaskan rundingan yang didakwanya sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.
Menurut Presiden AS itu, insiden sedemikian disifatkan sebagai sebahagian daripada realiti konflik ketenteraan dan tidak memberi kesan kepada usaha diplomatik yang sedang berjalan.
Advertisement
“Kejadian ini tidak memberi kesan kepada rundingan yang sedang berlangsung. Ini merupakan satu daripada situasi peperangan,” katanya dalam temu bual bersama NBC News
Dalam pada itu, Trump enggan mengulas lanjut mengenai operasi mencari dan menyelamat susulan insiden berkenaan, dengan alasan ia melibatkan maklumat sensitif ketenteraan Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, beliau turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap liputan media yang menurutnya memberi tumpuan berlebihan kepada usaha mengesan kru pesawat berkenaan.
Sementara itu, jurucakap White House, Karoline Leavitt memaklumkan kepada CNN bahawa Trump telah diberi taklimat penuh mengenai insiden tersebut, yang melibatkan pesawat pejuang jenis F-15E Strike Eagle ditembak jatuh di ruang udara Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, The New York Times melaporkan sebuah lagi pesawat Tentera Udara Amerika Syarikat, iaitu A-10 Thunderbolt II, turut terhempas di kawasan Teluk Parsi pada waktu yang hampir sama.
Selain itu, dalam temu bual berasingan bersama The Independent, Trump berkata, beliau tidak dapat mengulas mengenai sebarang tindakan yang mungkin diambil sekiranya juruterbang yang dilaporkan hilang berada dalam keadaan bahaya.
Beliau dalam ucapannya turut menyatakan harapan agar perkara sedemikian tidak pernah berlaku, dan tiada anggota Amerika Syarikat yang akan dijadikan sebagai tawanan oleh Iran atau sekutunya.