KLANG: Kejadian banjir kilat yang melanda di kawasan Meru, Klang akhir tahun lalu masih menjadi igauan ngeri penduduk di sini.

Selepas setahun, penduduk di sini terpaksa melalui situasi serupa dan mengakui penat untuk memindahkan barang ke tempat lebih selamat.

“Kami dah penat angkut perabot, Yang Berhormat sila ambil tindakan segera. Tak kan lah setiap hujung tahun kami nak hadap perkara ini.

“Menjelang Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) minggu depan, kalau rumah masih begini, hilang semangat nak turun mengundi,” luah salah seorang penduduk di Meru, Hana Farina Awaluddin yang sudah menetap di sana lebih 25 tahun.

Tambahnya, ini merupakan kejadian banjir kilat kedua yang mengakibatkan rumahnya dinaiki air.

“Banjir kali ini biarpun tidak seteruk Disember tahun lalu tetap memberikan kesan kepada kami sekeluarga. Disember lalu, saya terpaksa buang 70 peratus perabot dalam rumah sebab rosak teruk. Waktu itu hujan seharian tak berhenti, ambil masa air nak naik.

“Kali ini lebih dasyat sebab dalam masa satu jam, rumah dah dinaiki air paras tinggi. Kerugian yang saya alami hampir ribuan ringgit, kali ini keluarga saya terpaksa mengalami perkara yang sama,” katanya kepada Astro AWANI.

Kredit: Astro AWANI

Kredit: Astro AWANI

Dia mengakui pernah membuat aduan pada Mei lalu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Klang namun tindakan lanjut hanya diambil selepas lima bulan.

"Parit besar di hadapan kawasan rumah tersumbat dah lama, air tak dapat mengalir keluar sempurna. Saya harap isu ini dipandang serius oleh calon Ahli Parlimen yang mewakili kawasan sini," katanya.

Kredit: Astro AWANI

Semalam, sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Meru, Klang yang dijangka menempatkan 200 mangsa banjir dari kawasan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, banjir kilat itu susulan hujan lebat dan berlaku limpahan air daripada longkang besar berhampiran menyebabkan air naik sekitar satu meter.

Beberapa kawasan di sekitar Meru juga dilanda banjir kilat sedalam 0.3 meter  melibatkan kawasan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.