KUALA TERENGGANU: Laluan kontra sedang diaktifkan antara Bukit Besi ke Ajil di KM392.4 hingga KM394.6 arah utara menghala ke Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) berikutan kejadian banjir lumpur di KM393 pagi tadi.

LPT2 Sdn Bhd dalam kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan pihaknya sedang memantau situasi di lokasi terbabit dan menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan atau menangguhkan perjalanan sementara waktu.

Kenyataan itu juga meminta agar semua pemandu yang melalui kawasan tersebut mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan oleh kakitangan lebuh raya itu.

Banjir lumpur di KM393 LPT arah selatan

"Untuk maklumat trafik terkini di LPT 2, pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1800-88-0220, melalui Twitter @LPT2trafik, papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya atau menerusi pengumuman trafik semasa melalui stesen-stesen radio utama.

"LPT 2 mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama semua pelanggan lebuh raya," menurut kenyataan itu.

BACA: Banjir kilat di LPT 2 akibat limpahan air cerun

Terdahulu Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hasmeera Hassan dilaporkan berkata kejadian kira-kira 11 pagi itu dipercayai berpunca daripada limpahan air cerun berhampiran lokasi berkenaan.

Kejadian banjir kilat yang tular menerusi media sosial sejak pagi tadi itu surut sekitar 12.30 tengah hari tadi dan tiada kemalangan atau kejadian tidak diingini berlaku disebabkan insiden tersebut.

-- BERNAMA