DUNGUN: Kerja-kerja menambak tanah bagi aktiviti pembangunan sejak dua tahun lepas didakwa mengakibatkan air berlumpur melimpahi kawasan perumahan Bukit Binjai, di sini.

Sehubungan itu, penduduk merayu pihak berwajib menyelesaikan segera isu perparitan yang menyebabkan kediaman mereka sering dilanda banjir kilat.

Menurut penduduk, mereka terpaksa menanggung kerugian besar apabila rumah ditengelami air mengakibatkan kerosakan kediaman serta harta benda.

"Daripada tahun 2006 hingga dua 2016 kami tak ada apa-apa masalah duduk di sini, tapi apabila mula projek pembangunan di sekitar kawasan kami ini, longkang yang sedia ada sudah tak mampu menampung air hujan.

"Jadi setiap kali hari hujan, kami akan menghadapi banjir kilat yang memakan masa dua hingga tiga jam baru boleh surut," kata pesara swasta, Zainal Samii.

Bagi peniaga Aima Said, setiap kali hujan lebat, rumahnya akan ditenggelami air.

"Masalahnya, apabila hujan, air bertakung, saluran tak ada nak pergi mana, bertakung di rumah saya.

"Air naik dalam dua inci dalam rumah, dapur bawah itu habis ditenggelami air," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Kampung Che Lijah, Ibrahim Senik, ketika dihubungi berkata, kerja-kerja membina sistem saliran baharu akan dilaksanakan di kawasan itu bagi mengatasi masalah terbabit.

Menurut Ibrahim, isu berkenaan sudah memasuki fasa akhir perbincangan dan pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dijangka melakukan lawatan di kawasan tersebut dalam masa terdekat.