TANJUNG MALIM: Polis akan meningkatkan rondaan dan kawalan di kawasan terlibat banjir kilat, bagi memastikan tiada kecurian dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah mengatur gerak 16 pegawai dan anggota untuk membuat rondaan serta pemantauan di kawasan berkenaan dengan dibantu agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba serta Rela.

Beliau menasihatkan pemilik rumah yang terkesan supaya berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa serta sentiasa mengikut nasihat pihak berkuasa.

“Dalam masa sama, pemandu kenderaan juga perlu berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pemantauan mendapati antara kawasan yang terlibat adalah Taman Bernam Perdana, Taman Segar, Taman Seri Tanjung, Rumah Makan Muallim, Kampung Berop A, Kampung Berop B dan Ketoyong.

“Limpahan air mengakibatkan air naik setinggi lebih kurang satu meter di kawasan tersebut,” ujarnya.

BACA: Banjir kilat: 168 mangsa banjir di daerah Muallim dipindahkan ke PPS

Di samping itu, katanya, Jalan Slim Lama juga dilimpahi air menyebabkan hanya satu lorong jalan sahaja yang boleh dilalui oleh kenderaan.

Terdahulu, seramai 168 penduduk daripada 26 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari yang dibuka sekitar pukul 5.40 petang.