IPOH: Hujan lebat berterusan sehingga lebih dua jam menyebabkan banjir kilat dan sekurang-kurangnya 40 rumah terjejas akibat ribut di beberapa kawasan di Meru, di sini, lewat petang tadi.

Angkatan Pertahanan Awam Negeri Perak dalam satu kenyataan berkata dianggarkan lebih 40 buah rumah terjejas akibat ribut di Taman Meru 2C.

"Sepasukan anggota dan ambulans telah bergerak menuju ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko di kawasan ribut, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Tinjauan mendapati daripada jumlah itu terdapat lebih 10 buah rumah terjejas teruk apabila sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan ribut.

Penduduk didapati sedang mengemas kediaman mereka selepas hujan reda tetapi masih renyai lewat petang ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan D'Aman Residency Meru Raya mendapati puluhan penduduk terpaksa menunggu di tepi jalan dan di dalam kenderaan apabila laluan masuk dari jalan besar ke kawasan kediaman mereka ditenggelami air.

Air didapati naik sehingga paras paha menyebabkan kereta dan motosikal gagal melalui kawasan itu, beberapa kenderaan juga didapati ditenggelami air.

Seorang penduduk Nurhafizah Zainal Abidin, 30, berkata dia yang menaiki motosikal selepas pulang daripada kerja di sebuah farmasi mendapati laluan ke rumahnya telah dinaiki air.

"Saya kena tunggu juga, jika nak jalan kaki pulang pun, motosikal ni takut kena curi pula," katanya yang telah dua tahun menetap di situ bersama ibu dan bapa saudaranya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Afifah,39, pula berkata selama empat tahun tinggal di kawasan berkenaan, memang ada berlaku banjir kilat tetapi kejadian petang ini adalah antara yang terburuk.

Katanya biasanya air akan surut selepas dua atau tiga jam hujan berhenti.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Perak memaklumkan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Orang Ramai, Taman Meru jam 8 malam tadi bagi menempatkan mangsa ribut yang terjejas di Taman Meru 2B dan 2C.

Dalam kenyataan yang dikemaskini, agensi itu turut memaklumkan kejadian banjir turut berlaku di Pekan Gerik serta kawasan sekitarnya lewat petang tadi.

"Team Pemantau membuat pemantaun dan terdapat beberapa buah rumah kedai yang dinaiki air. Di Kampung Tanjung Kala terdapat 12 buah rumah yang dinaiki air dan 13 buah rumah dinaiki air di Kg Ulu Kenderong.

-- BERNAMA