Hujan lebat berterusan menyebabkan 29 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Dato Azman Mahalan, Kampar petang tadi susulan banjir kilat melanda kawasan itu pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, mangsa yang terdiri daripada 11 lelaki dan 18 perempuan dari Kampung Jeram itu dipindahkan ke PPS berkenaan pada pukul 3.30 petang menjadikan keseluruhan mangsa banjir di Perak kepada 122 orang setakat malam ini.

"Bagi daerah Kerian, seramai 93 orang daripada 38 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu 77 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman yang dibuka sejak Sabtu lepas.

"Seramai 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Parit Abu Hassan Ban Alor Pongsu juga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu yang dipindahkan bermula semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pelbagai agensi terlibat antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ditugaskan memantau keadaan di kawasan terjejas dan PPS.

-- BERNAMA