KUALA LUMPUR:Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan projek  Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, yang menjadi sebahagian Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bunus, tergendala sejak Jun 2019.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan projek itu yang sepatutnya menjadi kolam tadahan air bagi mengatasi isu banjir di ibu negara, didakwa gagal berfungsi kerana tidak diselenggara pihak berwajib sehingga menyebabkannya dipenuhi lumpur, tanah dan sampah.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata pembinaan projek kolam takungan itu tergendala kerana kontraktor yang dilantik telah ditamatkan kerja atas sebab-sebab ketidakpatuhan syarat kontrak.

Beliau berkata, JPS akan melantik kontraktor baharu selewat-lewatnya Jun ini bagi bagi menyiapkan projek berkenaan yang masih berbaki 34 peratus dan dijangka siap pada Jun 2022.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, projek pembinaan kolam berkenaan bukan keseluruhan projek RTB Sungai Bunus, sebaliknya hanya sebahagian daripada pakej RTB berkenaan.

“Projek berkenaan masih belum siap sepenuhnya dan sebenarnya ia bukan keseluruhan projek RTB Sungai Bunus. Kolam takungan itu adalah sebahagian daripada pakej RTB Sungai Bunus.

“Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol masih sedang dalam pembinaan dan keadaannya seperti tidak diselenggara itu adalah kerana kontraktor asal telah ditamatkan kerja kerja atas sebab-sebab ketidakpatuhan kepada syarat kontrak,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

BACA: RTB Sungai Bunus 'lupa' diselenggara punca KL terus banjir?

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, keseluruhan projek RTB Sungai Bunus direka bentuk untuk menampung sehingga 750,000 meter padu air bagi mengurangkan impak kejadian banjir di sekitar kawasan Jalan Tun Razak.

Selain itu, katanya, projek itu juga berfungsi bagi mengawal sebahagian air banjir daripada memasuki pusat bandar raya Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, enam daripada tujuh pakej RTB Sungai Bunus telahpun siap dan tahap kefungsian adalah 85 peratus serta akan berfungsi 100 peratus apabila pakej kolam bawah tanah itu disiapkan kelak.

“Sepanjang tahun 2020, JPS telah membelanjakan sebanyak RM8.1 juta bagi penyelenggaraan semua pakej RTB Sungai Bunus yang telah siap termasuk RM35,000 bagi kerja-kerja pembersihan di tapak Projek Kolam Takungan Banjir Bawah Tanah Pulapol,” katanya.