KUALA LUMPUR: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang terjejas akibat banjir telah dibuka secara berperingkat bermula jam 6 petang Jumaat.

Menurut pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam satu kenyataan, ia selepas kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih di sepanjang lebuh raya itu selesai sepenuhnya.

“Para pengguna dinasihati untuk tetap berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 sehingga KM77.3 yang tetap dibuka demi keselesaan dan keselamatan.

“Pengguna yang ingin ke laluan Pekan Karak perlu membuat pusingan ‘U’ sebelum Tol Karak, dan seterusnya keluar di susur keluar menghala ke Karak.

"Laluan di KM76 sehingga KM78.8 (Karak) masih ditutup untuk kerja-kerja pembersihan,” ujar kenyataan itu.

Jelas ANIH Berhad, bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka iaitu di Bentong bermula dari KM66 sehingga KM70.

Semua pengguna dinasihati mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.

ANIH sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya sentiasa menjadi keutamaan kami.

Untuk maklumat lanjut, sahih dan terkini, sila layari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09 5479111/ 1-700-818-700 untuk maklumat.