KUALA LUMPUR: Keadaan banjir terus beransur pulih di beberapa negeri pada sebelah petang ini dengan jumlah mangsa banjir semakin menurun dan terdapat pusat pemindahan sementara (PPS) yang ditutup.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini sebanyak 40,738 mangsa banjir dari 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari tadi.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 17,336 mangsa yang ditempatkan di 90 PPS tengah hari tadi, kepada 16,953 mangsa dari 4,752 keluarga melibatkan 88 PPS petang ini.

Setakat 4 petang tadi, Polis Selangor memaklumkan lapan jalan di lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) masih dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan.

Antara jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang); Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim (IPD Sabak Bernam); Jalan Kuala Selangor-Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh), manakala di IPD Kajang jalan yang ditutup ialah Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir ragut 46 nyawa, lebih 54,500 mangsa masih di PPS

Selain itu jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang ditutup ekoran rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT Mutiara Damansara ditutup kerana berlubang (IPD Petaling Jaya), manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser (IPD Hulu Selangor) menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

Di PAHANG, banjir semakin baik hari ini apabila dua PPS terakhir di Lipis ditutup petang ini, selepas daerah Raub dan Jerantut disahkan 'pulih' dari banjir, tengah hari tadi.

Daerah yang masih terjejas banjir di Pahang kini ialah Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Kuantan dan Pekan, dengan seramai 22,449 orang mangsa banjir masih berada di 156 PPS, demikian menurut aplikasi InfoBencana JKM.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiga sungai masih berada di paras bahaya iaitu, Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku kedua-duanya di Maran serta Sungai Bera di Bera, namun menunjukkan trend menurun.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca tidak hujan pada malam ini di Maran dan Kuantan, bagaimanapun ribut petir dijangka berlaku di sesetengah kawasan di daerah lain.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 6 petang ini, apabila seramai 685 orang daripada 222 keluarga berbanding 814 orang daripada 258 keluarga, tengah hari tadi, melibatkan lima PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Melaka tinggal hanya 29 mangsa daripada sembilan keluarga setakat 4 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya sebuah PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin.

"Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara di NEGERI SEMBILAN, kemas kini terakhir di InfoBencana JKM pada 7 pagi ini menunjukkan seramai 292 mangsa banjir dari 84 keluarga masih berlindung di empat PPS di Jelebu.

Kesemua PPS itu ialah Dewan Dsury Klawang, Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir, Dewan Orang Ramai Kampung Puom dan Sekolah Kebangsaan Dato Undang Abdullah.

-- BERNAMA