KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan di enam negeri menyebabkan peningkatan mangsa banjir kepada 26,685 orang daripada 6,287 keluarga setakat jam 6 pagi, pada Khamis.

Menurut laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 220 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa di Johor, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka.

Johor menjadi negeri paling teruk terjejas dengan merekodkan 24,230 mangsa daripada 6,738 keluarga yang ditempatkan di 177 PPS.

Antara daerah terjejas di negeri selatan tanah air itu adalah Segamat, Kota Tinggi, Kulai, Kluang, Pontian, Johor Bharu, Mersing, Muar,  Tangkak dan Batu Pahat.

Pahang menjadi negeri kedua teruk terjejas dengan mencatatkan 1,372 mangsa daripada 371 keluarga yang ditempatkan di 25 PPS yang dibuka.

Daerah yang terkesan adalah Maran, Rompin, Raub, Jerantut dan Pekan.

Sementara itu, Negeri Sembilan membuka 10 PPS untuk menempatkan 760 mangsa daripada 215 keluarga.

Kawasan terjejas di negeri itu adalah Tampin, Jempol dan Kuala Pilah.

Seterusnya Sarawak yang merekodkan 148 mangsa daripada 43 keluarga dengan empat PPS dibuka di kawasan Kuching, Serian dan Sri Aman.

Manakala Sabah mencatatkan 108 mangsa daripada 24 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di daerah Tongod.

Negeri terakhir yang turut terkesan banjir ialah Melaka dengan 67 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.